Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja asing bunuh diri - Ahli ekonomi gesa k'jaan kaji semula dasar buruh negara

Seorang ahli ekonomi menggesa agar Menteri Sumber Manusia M Saravanan menangani isu pekerja asing yang tidak dibayar gaji dengan mengkaji semula dasar buruh negara ketika ini.

Gesaan itu hadir selepas baru-baru ini media melaporkan mengenai seorang pekerja asing warga Pakistan dipercayai bunuh diri pada 17 April lalu kerana dikatakan gajinya tidak dibayar selama lima bulan.

Bercakap kepada Malaysiakini, ahli ekonomi dan bekas pegawai tinggi kerajaan Ramon Navaratnam mengatakan bahawa tragedi itu memberi gambaran buruk tentang sistem buruh di negara ini.

"Nyawa telah hilang dan mungkin ada lebih banyak nyawa lain yang hilang (seperti ini), jadi bagaimana kita mengubah keadaan?

"Menteri perlu menjawab apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah yang berbahaya dan serius ini yang menyebabkan kehilangan nyawa kerana mereka tidak dibayar gaji tepat pada waktunya," katanya.

"Kita perlu mengembangkan jaringan maklum balas untuk semua pekerja tempatan dan asing yang tidak dibayar tepat pada masanya untuk kementerian mengambil tindakan susulan," katanya.

"Dengan teknologi maklumat masa kini, siapa saja yang mempunyai telefon bimbit dapat segera (membuat laporan kepada pihak berwajib) sekiranya tidak dibayar. Ini dapat mencegah tragedi yang sama daripada terjadi lagi dan menyampaikan mesej bahawa kerajaan tidak bertolak ansur sekiranya gaji tidak dibayar," katanya.

"Tidak ada alasan untuk tidak membayar pekerja gaji mereka [...] tanyakan kepada majikan bagaimana jika mereka berada dalam situasi sama. Ini sangat menyedihkan, mengerikan, dan tidak dapat dimaafkan," kata Navaratnam, yang juga merupakan Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam di Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI) itu.

Dia berkata, perlu diwujudkan nombor hotline untuk pekerja membuat aduan dan memohon bantuan.

"Seluruh dasar harus dikaji, disemak dan dibuat lebih ketat dengan penguatkuasaan ditingkatkan dan sistem maklum balas awam diwujudkan," katanya.

Selain itu, tambahnya, semua kedutaan asing dan suruhanjaya tinggi harus mampu mendapat maklumat mengenai maklum balas dari warganegara mereka dan melaporkan kes kepada kerajaan Malaysia.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa Shahzad Ahmed ditemui mati di tempat kerja nya di sebuah tapak pembinaan berhampiran Jalan Ampang pada 17 April.

Dia dipercayai bunuh diri. Sebelum kematiannya, warga Pakistan berusia 30 tahun itu menyiarkan video di platform media sosial TikTok, di mana dia menuduh majikannya gagal membayar gaji selama lima bulan.

Ketua Polis Wangsa Maju Ashari Abu Samah berkata siasatan menunjukkan bahawa syarikat itu tidak membayar pekerjanya itu yang mempunyai dokumen dari Disember 2020 hingga April 2021 kerana masalah kewangan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Radha Krishnan, ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut, Landseal Sdn Bhd, telah memberitahu Malaysiakini bahawa syarikat itu akan menanggung kos untuk menghantar jenazah Shahzad ke Pakistan dan memberikan pembayaran muhibah kepada keluarganya.

Jabatan Tenaga Kerja sedang menyiasat kes ini di bawah Akta Pekerjaan 1995. Seorang pegawai jabatan mengatakan siasatan seperti itu biasanya diselesaikan dalam seminggu.

Navaratnam mengatakan bahawa dia tidak yakin bahawa majikan itu mengalami kekangan kewangan kerana PKP sehingga tidak mampu membayar gaji Shahzad.

"Bagaimana mereka mampu membayar (gaji itu kepada ahli keluarganya selepas dia meninggal dunia)? Mereka tidak mungkin muflis," soalnya.

"Sekiranya semua orang memberi alasan dan tidak ada yang peduli (tentang kebajikan pekerja), kita harus mendorong mereka untuk peduli. Itulah peranan kerajaan, dan kerajaan telah mengecewakan rakyat," kata Navaratnam lagi.

Tambahnya lagi, dalam kes di mana majikan tidak mampu membayar gaji kerana masalah kewangan, kerajaan harus memperkenalkan dasar yang dapat membantu majikan dan pekerja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS