Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPR akan ambil langkah segera laksana Undi18 - Takiyuddin
Diterbitkan:  Apr 29, 2021 9:38 AM
Dikemaskini: 1:38 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menurunkan had umur mengundi (Undi18) susulan mesyuarat kabinet semalam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan.

“Susulan keputusan (kabinet) tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan juga perkara teknikal termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bulan lalu, SPR memaklumkan akan menangguhkan Undi18 sejurus pelaksanaan pendaftaran undi automatik (AVR) kepada September tahun 2022.

SPR berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) menjejaskan rancangan tersebut, dan laporan awal dijangka akan siap pada September tahun ini.

Langkah itu menyebabkan 1.2 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun tidak dapat mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) yang dijangka akan diadakan selepas proklamasi darurat tamat pada Ogos tahun ini.

Hal itu turut mencetuskan reaksi bantahan terhadap SPR dan kerajaan Perikatan Nasional (PN), susulan jangkaan pelaksanaan Undi18 sebelum ini pada Julai ini.

Pengkritik, termasuk menteri daripada Umno menyatakan penurunan had umur wajar dilaksanakan berasingan daripada AVR.

Takiyuddin turut menegaskan, kerajaan komited untuk memberikan hak kepada pengundi berumur 18 ke atas untuk mengundi pada PRU ke-15 dan mana-mana pilihan raya kecil (PRK).

Untuk rekod, penurunan had umur mengundi telah dipersetujui dalam persidangan Dewan Rakyat pada tahun 2019.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS