Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada isu staf langgar SOP, kata penganjur program buka puasa RTM

Penganjur program buka puasa Radio Televisyen Malaysia (RTM), Md Shahri Saripan menafikan dakwaan kakitangan agensi itu gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 seperti yang tular di laman sosial, hari ini.

Sebaliknya, Md Shahri yang juga timbalan pengarah berita TV RTM berkata tidak ada isu kakitangannya tidak mematuhi SOP yang ditetapkan kerana penganjuran program tersebut hanya bertujuan untuk menyediakan juadah berbuka puasa di kalangan kakitangan sahaja.

"(Dakwaan langgar SOP) Tak ada isu apa pun. Program itu hanya sediakan juadah berbuka puasa,tak ada apa pun," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, tular di media sosial gambar-gambar persiapan suatu majlis menunjukkan tiada penjarakan fizikal antara beberapa orang yang juga tidak memakai pelitup muka.

Bagaimanapun Shahri tidak mengulas lanjut ketika disoal berhubung dakwaan kehadiran kakitangan RTM dari Johor dalam gambar persiapan majlis yang tular itu.

Terdahulu, Shahri dilaporkan menafikan dakwaan membawa petugas-petugas RTM dari Johor untuk membantu persiapan program “Majlis Khatam Al-Quran dan Rewang Iftar BES” yang diadakan di Angkasapuri di Kuala Lumpur hari ini.

“Kami pakai mask dan kerap sanitasi tangan. Kami masak untuk kami (staf RTM) sahaja, untuk sediakan buka puasa untuk yang bekerja lintas langsung di sini,” katanya, petik MalaysiaNow.

Shahri berkata program itu hanya melibatkan kurang daripada 40 orang staf RTM dan dianjurkan bertujuan untuk mengagihkan bubur lambuk kepada petugas yang bekerja sehingga waktu berbuka puasa.

Malaysiakini dalam usaha menghubungi Ketua Pengarah Penyiaran, Ruzain Idris bagi mendapatkan maklum balas dari pihaknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS