Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk dakwa DBKL gagal bayar bil air, lebih 3,000 terjejas

Penduduk Perumahan Awam Sri Kelantan di Sentul membuat laporan polis mengenai dakwaan tunggakan bil bekalan air berjumlah lebih RM97 ribu.

Akibat tidak puas hati dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa tidak membayar bil bekalan air berjumlah lebih RM97 ribu, penghuni Perumahan Awam Sri Kelantan di Sentul membuat laporan polis.

Pengerusi persatuan penduduk, Roslan Ismail membuat laporan polis awal pagi hari ini mewakili penduduk blok A, B dan C mendakwa kesejahteraan penduduknya terjejas akibat tindakan pemotongan bekalan air.

"Kami membuat laporan polis kerana di kawasan perumahan kami tiada bekalan sejak petang (semalam) lepas buka puasa.

"Apabila kami meminta penjelasan daripada pihak pembekal air, kami dimaklumkan tunggakan sebanyak RM97,268.45 belum dibayar oleh pihak DBKL," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, tunggakan sebanyak lebih RM97,000 hanya melibatkan blok C rumah pangsa berkenaan.

"Blok A dan B diuruskan oleh badan pengurusan bersama (JMB). Sementara, segala masalah blok C ditanggung jawab oleh DBKL.

"Hanya kerana blok C mempunyai tunggakan, blok A dan B turut dikenakan pemotongan bekalan air yang menjejaskan lebih 3,000 penghuni," katanya.

Bekalan disambung tengah hari tadi

Sementara itu, ketika dihubungi Ahli Parlimen Batu P Prabakaran berkata agensi kerajaan perlu lebih berwaspada ketika mengambil sebarang keputusan melibatkan kehidupuan harian rakyat.

"Saya tidak faham kenapa bekalan air dipotong ketika bulan Ramadan? Saya harap semua agensi kerajaan perlu bekerjasama dan perlu memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat.

"Kalau ada penghuni tidak bayar bil, perlu memotong bekalannya secara individu. Bukannya secara keseluruhan," katanya.

Ketua AMK Wilayah Persekutuan itu turut berkata pihaknya telah menyediakan lori tangki air bagi kegunaan penghuni sejak pagi tadi.

Dalam pada itu, seorang wakil DBKL memberitahu Malaysiakini bahawa bekalan air telah pun disambungkan semula pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

"Air disambungkan semula pukul 12.30 tengah hari tadi.

"Semuanya okay," kata pegawai DBKL itu yang enggan mendedahkan namanya.

Malaysiakini telah menghubungi DBKL untuk mendapatkan penjelasan dan masih menunggu kenyataan rasminya mengenai dakwaan kegagalan membayar tunggakan air ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS