Vaksin AstraZeneca hanya akan diberikan kepada mereka yang secara sukarela ingin mengambilnya, menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kegusaran sesetengah pihak berhubung kemungkinan kesan sampingannya, walaupun data menunjukkan vaksin tersebut selamat.
"Kami stuju untuk satu langkah proaktif. Pertamanya vaksin AstraZeneca akan terus digunakan, tetapi pada masa sama untuk atasi ketakutan (terhadapnya) yang sebenarnya tidak berasas kepada sains.
"Hari ini kita umumkan vaksin ini tak akan diguna pakai di pusat pemberian vaksin (PPV) biasa. Ia tak akan digunakan dalam program Pick.
"PPV khas akan dibuka bagi vaksin AstraZeneca dan dibuka kepada orang ramai yang secara sukarela - selepas lihat semua fakta - untuk mendaftar di PPV khas ini," katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Putrajaya hari ini.
Khairy dan Adham adalah pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).
Mengulas lanjut, Khairy berkata pendaftaran untuk vaksin tersebut akan dibuat berdasarkan "siapa cepat dia dapat" dan tidak mengikut pecahan penerima dalam program imunisasi sedia ada.
PPV khas ini akan dibuka di Kuala Lumpur dan Selangor, dengan matlamat meningkatkan kadar vaksinasi di negara ini.
Semalam, Khairy dilaporkan berkata dia dan Adham akan mengadakan perbincangan tentang penggunaan vaksin AstraZeneca.
Ia selepas ada pihak membangkitkan kebimbangan berkenaan kesan sampingannya, susulan laporan kes gumpalan darah di kalangan penerima vaksin itu di beberapa negara.
Khairy menegaskan pendirian jawatankuasa adalah manfaat vaksin tersebut jauh melangkaui risiko terhadap penerimanya.
Katanya, risiko gumpalan darah lebih tinggi terhadap mereka yang dijangkiti Covid-19, iaitu pada kadar 16.5 peratus, berbanding kadar 0.0004 peratus risiko berlakunya gumpalan darah akibat vaksin itu.
Mengulas lanjut mengenai pemberian vaksin itu, Khairy berkata mereka yang ingin mendapatkannya boleh membuat temu janji menerusi saluran yang akan diwujudkan nanti.
"Prinsipnya di sini ialah keputusan yang dibuat berdasarkan pengetahuan. Hari ini tiada kegusaran terhadap vaksin Pfizer dan Sinovac, tetapi AstraZeneca.
"Jadi kita beri semua maklumat daripada pakar kepada orang ramai," katanya lagi.