Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memberi bayangan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan saja berdepan dengan kecaman orang ramai yang tidak senang dengan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR), bahkan daripada “orang dalam” kerajaan sendiri.

Menzahirkan rasa terkilannya, kata Abdul Hamid, kecaman itu datang daripada mereka yang sepatutnya faham tentang tujuan SJR diadakan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Dia menyebut “orang dalam” itu ada yang terdiri daripada “pegawai-pegawai kerajaan” bahkan ada yang terdiri daripada “menteri” sendiri.

“Yang saya sedih itu, dalam mesyuarat dibangkitkan, ‘mengapa PDRM mendirikan sekatan jalan di Putrajaya’. Apa kena mengena Putrajaya dengan mendirikan sekatan jalan?

“Datang daripada dalam, kecaman itu, daripada orang yang sepatutnya faham tentang perlunya SJR didirikan atas arahan MKN … Masih ramai yang tak cerdik, mengecam tanpa usul periksa - ‘Mengapa PDRM sengaja menyusahkan orang mendirikan sekatan jalan di Putrajaya?’

“Jadi bagi orang yang tak cerdik ini, saya ingatkan, buka, baca balik arahan-arahan MKN, sebelum nak kutuk PDRM,” katanya dalam sidang media Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Tolak Rasuah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

Dia disoal berkenaan rancangan polis sempena hari raya nanti untuk mengetatkan SJR di plaza-plaza tol lebuh raya bagi mengelakkan orang ramai pulang ke kampung secara curi-curi, memandangkan pergerakan rentas negeri masih belum dibenarkan setakat ini.

Kata Abdul Hamid, polis mungkin akan membekukan cuti semua pegawainya, dan dia yakin polis mempunyai kekuatan cukup bagi mengawal pergerakan, seperti mana dapat dilihat pada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

Lebih-lebih lagi, katanya, dengan perkembangan semasa yang menyaksikan kes Covid-19 terus mencatatkan peningkatan dengan kes harian masih di tahap tinggi.

Pada satu-satu masa, kata Abdul Hamid, polis mampu mengerakkan 46,000 anggota dengan 12,000 lagi bersiap sedia (standby), dan jumlah itu belum termasuk kekuatan agensi lain seperti tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Walaupun PKP tak diisytiharkan (hari raya nanti), kita akan laksanakan tindakan mengetat (penguatkuasaan), seolah-olah PKP dilaksanakan,” katanya.

Oleh hal yang demikian, Abdul Hamid memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak mengecam polis yang mengadakan SJR pada musim perayaan nanti, kerana didakwa menyebabkan kesesakan jalan raya sehingga berkilomer jauhnya.

Apatah lagi, kata Abdul Hamid, jika kecaman itu datang daripada “orang dalam” kerajaan sendiri.

“Kalau adalah pegawai-pegawai kerajaan sendiri yang tak faham, yang tak cerdik ini, datang berjumpa saya. Saya nak ajar mereka kenapa kita buat macam itu. Jangan pandai-pandai nak mengadu saja, nak kritik saja.

“Saya kalau dari orang ramai ini saya faham. Tapi kalau datang dari dalam, menteri sendiri ...

“Saya minta mereka sendiri fahamlah. Hari-hari bermesyuarat, balik-balik kisah kesesakan. Nak jadi juara nak membela orang ramai. Lepas tu salahkan kami (polis),” luahnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS