mk-logo
Berita
Edar ganja: Penganggur terlepas tali gantung, dipenjara 18 tahun, 10 sebatan
Diterbitkan:  Apr 27, 2021 5:31 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Seorang penganggur terlepas daripada hukuman gantung setelah Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan sabitannya mengedar 112, 892 gram kanabis dan menjatuhkan hukuman penjara kerana memiliki dadah.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan rotan terhadap Rosli Yusof setelah menggantikan tuduhan memiliki dadah yang disembunyikan dalam lima kampit beras.

Hakim memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh penangkapannya pada 6 Dis 2014.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Menurut pertuduhan, Rosli, 39, melakukan kesalahan itu di Hentian Juru Arah Selatan, Juru, tengah Seberang Prai, Pulau Pinang, pada 10 malam, 6 Dis, 2014.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis menahan Rosli dan menjumpai lima kampit beras di dalam but kereta yang dipandunya dan di dalam kampit itu, polis merampas 119 paket bahan tanaman yang dimampatkan yang kemudian didapati kanabis.

Pada 31 Mei 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapatinya bersalah kerana mengedar dadah dan menjatuhkan hukuman mati kepadanya.

Rosli kemudian merayu di Mahkamah Rayuan namun ditolak pada 8 Okt 2019.

Peguam Rosli, K Simon Murali memberitahu Bernama bahawa mahkamah mengetepikan sabitan atas kesalahan mengedar dadah atas alasan yang dkemukakannya bahawa anak guamnya dinafikan perbicaraan yang adil.

Dalam prosiding rayuan hari ini, Murali berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal menawarkan empat individu - tiga rakyat Malaysia dan seorang warganegara Thailand yang disiasat bersama-sama dengan Rosli, sebagai saksi pembelaan dan oleh itu anak guamnya tidak diberi peluang untuk memanggil mereka sebagai saksinya.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghaffar Ab Latif mewakili pihak pendakwaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS