mk-logo
Berita
Saifuddin: Tak benar k'jaan kekang pengkritik bersuara
Diterbitkan:  Apr 27, 2021 4:34 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah menolak tuduhan kononnya kerajaan mengekang pengkritik daripada bersuara.

Jelas Saifuddin, kerajaan dengan jelas menegakkan hak kebebasan bersuara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Dakwaan bahawa kerajaan mengekang pengkritik daripada bersuara adalah tidak benar sama sekali.

"Terdapat kritikan dalam pelbagai bentuk seperti karya satira dan penulisan yang berunsur kritikan terhadap kerajaan, namun tidak diambil tindakan selama ini.

"Namun, kebebasan bersuara ini sama sekali bukan bererti membenarkan pandangan atau hujah berunsur hasutan yang sengaja mencetuskan kekecohan dan penghinaan, apatah lagi menghina institusi Raja seperti dalam dakwaan beberapa kes baru-baru ini.

"Kita harus dapat membezakan antara kritikan dan penghinaan. Kita juga tidak boleh mengetepikan tanggungjawab sosial kita dalam masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pun begitu, kenyataan menteri ini dibuat secara umum tanpa menyentuh langsung kes penahanan aktivis dan artis Fahmi Reza.

Pada 23 April lalu, polis memberkas Fahmi di rumahnya sebelum dibawa ke balai IPD Dang Wangi.

Siasatan kes terhadap Fahmi dibuat berhubung hantaran aktivis itu di media sosial mengenai Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Aktivis dan artis itu disiasat bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Fahmi sering menarik perhatian ramai melalui karya rekaan satira dan kritikal terhadap kerajaan serta ahli politik.

Baru-baru ini, seniman itu menghasilkan karya dalam isu sohor dalam talian #DengkiKe.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata kerajaan menerima kritikan secara terbuka dan mengambil berat akan kritikan yang menjurus ke arah kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Etika dan kematangan dalam mengemukakan pandangan dan hujah harus diamalkan oleh kita semua agar bersesuaian demi kepentingan serta kemaslahatan ummah.

"Matlamat komunikasi ummah ini bermaksud menggunakan kebijaksanaan dalam tatacara berkomunikasi untuk memberi pengajaran yang baik, menegur dan mengkritik dengan berhemah serta beradab walaupun berbeza pendapat," katanya.

Oleh itu, Saifuddin menyeru orang ramai supaya mendokong prinsip penyatuan dan saling menghormati demi mengekalkan keharmonian serta suasana muhibbah dalam masyarakat. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS