Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sebilangan besar kes Covid-19 'sporadik', tak diketahui punca jangkitan
Diterbitkan:  Apr 26, 2021 6:32 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Sebilangan besar jangkitan Covid-19 yang dicatatkan tahun ini adalah kes 'sporadik' (rawak) tanpa ada kaitan epidemiologi yang diketahui, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Adham merujuk kepada kes-kes yang yang punca jangkitannya tidak dapat dikenal pasti.

Katanya, kes seperti itu merangkumi 170,173 kes tahun ini setakat 25 April, atau 60 peratus kes yang disahkan di negara ini.

Negeri dan wilayah dengan jumlah kes sporadik tertinggi ialah Selangor (65,215 kes), Kuala Lumpur (19,834 kes), dan Johor (17,934 kes).

"Kes-kes sporadik ini yang kita bimbang. Mereka boleh menular ke dalam sekolah dalam keadaan yang tidak boleh kita pastikan sekiranya kepatuhan kepada penggunaan PPE dan kebersihan kendiri tidak dilaksanakan," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Kluster Covid-19 menyumbang 36 peratus kes lain, sementara selebihnya dikesan melalui kaedah penyaringan lain.

Adham berkata, Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan pegawai daerah, menteri besar dan ketua menteri, dan Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dan mendorong orang ramai menerapkan amalan yang akan mengurangkan penyebaran wabak ini.

Ini termasuk memastikan bahawa orang ramai memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan kebersihan diri yang baik, dan mengelakkan tempat yang sesak dan perbualan jarak dekat.

Sementara itu, Adham mengatakan jumlah kluster Covid-19 yang melibatkan institusi pendidikan telah meningkat kepada 22 kluster untuk minggu yang berakhir pada 24 April, berbanding 12 kluster pada minggu sebelumnya.

Dalam tempoh yang sama, jumlah kluster tempat kerja telah menurun dari 30 kepada 22, sementara kluster komuniti meningkat dari 18 kepada 20.

Terdapat tiga kluster yang berkaitan dengan aktiviti keagamaan minggu lalu berbanding satu kluster pada minggu sebelumnya; dan satu kluster pusat tahanan minggu lalu berbanding tiga kluster minggu sebelumnya.

Secara keseluruhan, jumlah kluster aktif meningkat kepada 352 minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Bahagian ujian Covid-19 yang memberikan hasil positif juga meningkat dalam tempoh yang sama, dari 3.6 peratus menjadi 3.8 peratus. Jumlah ujian yang dijalankan meningkat 20 peratus kepada 65,905 ujian sehari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS