Kerajaan akan menggunakan RM5 bilion daripada dana Kumpulan Wang Amanah Negara (Kwan) untuk membiayai program vaksinasi Covid-19.
Ini berjumlah 25.6 peratus daripada dana Kwan yang berjumlah RM19.5 bilion setakat 31 Disember 2020.
Pada sidang media di Putrajaya hari ini, Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz memberi jaminan bahawa wang itu hanya akan digunakan bagi program berkenan dan bukan tujuan lain.
Zafrul berkata negara kini sedang mengalami krisis yang memerlukan sokongan daripada dana Kwan.
"Krisis ini yang kita hadapi sekarang bukan hanya krisis ekonomi seperti pada tahun 1998 dan 2008. Ini adalah krisis kesihatan dan ekonomi serentak," katanya sambil menyebut pengusutan ekonomi 5-6 peratus tahun lalu.
"Vaksinasi adalah kunci untuk menghidupkan kembali ekonomi dan tujuan Kwan adalah melindungi generasi akan datang. Tidak ada cara yang lebih baik untuk melindungi rakyat daripada memastikan kekebalan kelompok (herd immunity)," katanya.
'Hutang 1MDB cukup bayar 8 program vaksin'
Zafrul menjelaskan bahawa Petronas - satu-satunya penyumbang dana Kwan sejak tahun 1988 - telah menyalurkan dana sebanyak RM10.4 bilion ke dalam dana itu.
Untuk menjamin kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang, Zafrul berkata kerajaan tidak dapat menanggung lebih banyak hutang, kerana sudah memiliki hutang dan liabiliti sebanyak RM1 triliun.
"Ini termasuk pinjaman tanpa sumber pembayaran seperti 1MDB dan inisiatif kewangan swasta (PFI) untuk perbelanjaan di luar imbangan duga.
"Sebagai contoh, obligasi hutang kerajaan untuk 1MDB sebanyak RM40 bilion cukup untuk membayar lapan program vaksinasi," katanya.
1MDB adalah cetusan idea bekas perdana menteri Najib Razak, yang secara kebetulan mengkritik keputusan kerajaan mengguna pakai dana Kwan.
Najib didapati bersalah kerana menyelewengkan RM42 juta dana SRC International dan sedang menghadapi perbicaraan kerana menyalahgunakan wang 1MDB sebanyak RM2.3 bilion.
Zafrul berkata beriutan masalah yang 'diwarisi" ini, kerajaan kini mempunyai ruang fiskal yang sangat terhad.
"Kita tidak ingin membebankan generasi mendatang dengan hutang berlebihan yang tidak sesuai. Sekarang, kerajaan menanggung caj hutang untuk hutang yang tidak produktif dan liabiliti yang dibuat di luar belanjawan.
"Kerajaan bertanggungjawab untuk generasi sekarang kerana mereka terkesan (dengan wabak Covid-19). Kejayaan untuk generasi akan datang tidak pasti.
"Oleh itu, kerajaan komited untuk menambah dana Kwan apabila krisis berakhir dan kewangan kerajaan kembali kukuh," katanya.