Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hasrat kembalikan mandat pada rakyat tergendala selagi parlimen digantung'
Diterbitkan:  Apr 26, 2021 2:17 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata hasrat untuk mengembalikan mandat kepada rakyat sejurus setelah situasi Covid-19 terkawal tetap menjadi keutamaan parti itu.

Bagaimanapun, menurut Shahril ia tergendala selagi sistem demokrasi tidak dipulihkan susulan Parlimen masih ditutup dan darurat menjadi penghalang kepada proses semak dan imbang.

Justeru itu, katanya, antara keputusan utama mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam adalah menggesa agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka terlebih dahulu supaya demokrasi boleh dikembalikan ke tempat asalnya.

“Jangankan soal membuktikan keabsahan majoriti kerajaan PN (Perikatan Nasional), sedangkan bersidang pun tidak. Jangankan hendak melulus perbelanjaan, sedangkan bersidang pun tidak.

“Jika ada hujah mahu mengadakan pilihan raya kelak sebagai jalan keluar dari kemelut politik, itupun tidak mampu berlaku selagi Parlimen tak bersidang dan darurat terpakai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Shahril berkata Umno percaya selagi demokrasi berparlimen tergendala dan prinsip akauntabiliti dikesampingkan, selagi itulah pelabur menjauh dan ekonomi hambar.

“Sebarang ketetapan berkenaan kelangsungan pembabitan Umno dalam kerajaan PN pula akan diputuskan atas semangat musyawarah.

“Apabila keputusan itu diambil, MKT yakin bahawa semua ahli parti termasuk yang menjadi anggota kerajaan hari ini akan mematuhinya, sekaligus mempamerkan kesatuan tindakan dalam parti,” katanya.

Selain itu, menyentuh hal pemilihan parti, Shahril berkata Umno sekali lagi mengambil pendekatan komprehensif dan berhikmah yang memeriksa segala sudut sebelum menetapkan sebarang tarikh.

"MKT memutuskan untuk mendapat panduan dari pihak berwajib berkenaan kaedah terbaik dengan mengambil kira kekangan SOP Covid-19," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS