Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak semakan kehakiman oleh bekas anggota DAP Hew Kuan Yau untuk membatalkan larangan terhadap komik kontroversi Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) oleh Kementerian Dalam Negeri.
Berikutan keputusan hakim Noorin Badaruddin hari ini, kementerian itu juga akan menyimpan semula buku yang dirampas.
Permohonan semakan kehakiman berkenaan bertujuan menghentikan perintah larangan oleh menteri dalam negeri dan warta Jabatan Peguam Negara mengenai perintah larangan itu, bertarikh 23 Oktober 2019.
Menurut permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 26 Nov 2019, menteri dalam negeri (yang tidak disebutkan namanya), Kementerian Dalam Negeri, pejabat peguam negara dan kerajaan Malaysia dinamakan sebagai responden.
Hew, yang digelar sebagai 'Superman Hew', adalah pengarang bersama komik yang diterbitkan oleh Muzium Budaya Komik Asia dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Cina.
Larangan kementerian itu merangkumi kesemua tiga versi bahasa.
Buku ini dikatakan mempromosi China dan "Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI)" sambil meletakkan dunia Barat dalam aspek negatif.
Selain itu, antara bahagian kontroversi yang terdapat dalam komik berkenaan adalah menyifatkan orang Melayu yang bersimpati dengan etnik Uighur di China - yang dikatakan ditahan di "kem pendidikan semula" oleh Beijing - sebagai "radikal".
Pada 21 Oktober 2019, Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata peranan Malaysia bukannya mempromosikan ideologi China, tetapi meneliti apakah manfaatnya yang mampu diraih negara.
Mahathir merujuk kepada pengedaran percuma komik tersebut di sekolah-sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan di Pulau Pinang yang kemudian dihentikan pengedarannya oleh Kementerian Pendidikan.
Dua hari kemudian, Kementerian Dalam Negeri mewartakan Perintah Larangan ini mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Pada 6 Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran untuk Hew meneruskan semakan kehakiman terhadap larangan buku komik itu.
Mahkamah kemudiannya mendengar penghujahan dari pihak-pihak berkaitan mengenai merit tindakan undang-undang.
Semasa prosiding di mahkamah terbuka pagi ini, Noorin memutuskan bahawa keputusan menteri melarang pengedaran buku itu sah, wajar dan tidak boleh diganggu oleh mahkamah.
Hakim berkata ini kerana keputusan menteri itu dibbuat setelah memeriksa kandungan buku itu, yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Dia berkata bahawa keputusan menteri itu juga dibuat setelah mempertimbangkan komen media sosial dan laporan polis yang dibuat oleh orang ramai mengenai komik itu.
Dia juga berkata mahkamah tidak menganggap keputusan menteri itu keterlaluan dan menyatakan bahawa situasi tertentu memerlukan pembatasan kebebasan perlembagaan untuk membantu menjaga ketenteraman awam.
"Mahkamah tidak menemui merit dalam permohonan (Semakan kehakiman) ini dan menolaknya dengan kos Rm5,000," katanya.
Dalam keputusan lisannya hari ini, hakim juga berkata bahawa Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan adalahmengikut perlembagaan dan sah.
Selain berusaha untuk menghentikan larangan tersebut, semakan kehakiman juga meminta mahkamah memutuskan bahawa Seksyen 7 (1) Akta itu tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah.
Ketika ditemui media selepas prosiding pagi ini, peguam Hew J Shamesh berkata dia akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini atau pun tidak.
Hew tidak hadir di mahkamah hari ini.
Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi hadir mewakili responden dalam prosiding hari ini.