Sekiranya berlaku sebarang usaha Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk menjalinkan kerjasama bersama Umno, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak akan menyertai usaha tersebut.
Pengasas Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dia tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan kleptokrasi.
“Tidak perlu kita berselindung (soal perjanjian pintu belakang), bukan saya sahaja yang cakap malah Anwar pun cakap.
"Surat yang dikeluarkan oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Presiden Umno, Najib Abdul Razak ke istana itu betul. Sampai sekarang semua tahu itu betul.
“Jadi pendirian saya, saya masih dalam blok pembangkang. Saya tidak ada masalah sokong Anwar, dasar-dasar pembaharuannya saya sokong. Tetapi berkenaan kerjasama politik, kalau tiba-tiba dia kata “Saddiq, sertai kerajaan bersama Zahid dan Najib”, saya akan kata, tidak mengapa dan saya akan tolak.
“Jadi, kita kena lawan kleptokrasi, itu jelas dan itu saya tidak akan berkompromi. Sebab itu, apabila saya tegur Anwar bab ini, saya tegur, dan tidak salah untuk tegur,” katanya menerusi wawancara portal Utusan Online.
Tambahnya, Syed Saddiq juga menyifatkan dirinya hipokrit seandainya membawa Muda menyertai jajaran politik Umno bersama PKR itu.
Malah jelasnya, Muda juga komited memperkasa agenda reformasi dan membaik pulih sosioekonomi rakyat, meskipun terpaksa bergerak sendirian sebagai parti pembangkang.
Sebelum ini, bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa mendedahkan kesahihan surat sokongan Umno terhadap Anwar untuk dilantik sebagai perdana menteri yang ditandatangani Ahmad Zahid dan Najib.
Annuar berkata dia mendedahkan surat berkenaan kerana tidak bersetuju dengan pendirian pemimpin Umno menyokong presiden PKR itu.
Malah, uar-uar kerjasama dua parti itu makin kukuh, setelah tular audio memaparkan perbualan dua lelaki yang suara mereka mirip dengan suara Anwar dan Ahmad Zahid.
Dalam perbualan itu antara lain mereka memperkatakan mengenai Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 dan ucapan ahli parlimen Bagan Datuk itu semasa perhimpunan berkenaan.
Kedua-dua mereka menafikan ketulenan video berkenaan namun setakat ini tiada laporan polis dibuat oleh mereka.
Isu klip audio ini dijangka dibincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno esok.
Terdapat pemimpin Umno, sebahagiannya memegang jawatan kerajaan yang mempersoalkan kepimpinan Ahmad Zahid sekiranya benar dakwaan membabitkan kerjasama dengan PKR dan Anwar.
Antara yang lantang bersuara sebelum ini, Menteri Wilayah Pesekutuan Annuar Musa dan Shahidan Kassim, pengerusi Umno Perlis yang disingkir Zahid semalam.