Inisiatif yang dilakukan NGO WWF Malaysia, Pemuda Gema, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Kelab Harmoni Universiti Teknologi Mara (UiTM) seharusnya dipuji dan dicontohi setiap negeri dan kawasan bagi mengurangkan pembaziran pada bulan Ramadan.
Sebagaimana dilaporkan media, sebanyak 42.1 kilogram makanan yang tidak terjual di bazar Ramadan Shah Alam 'diselamatkan' pada hari pertama inisiatif Majlis Bandar Raya Shah Alam dan sebanyak 16.4 liter minuman tidak terjual juga berjaya dikumpulkan, menerusi program Food Waste Management - Food Rescue yang bermula di tapak bazar Ramadan Seksyen 17, Shah Alam.
Menurut Oriental Daily, statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan kira-kira 20,000 tan makanan dibuang oleh restoran dan hotel setiap minggu pada bulan Ramadan.
Sehubungan itu, langkah yang baik telah dilaksanakan oleh MySaveFood - anjuran bersama MARDI, SWCorp dan Gema Negeri Sembilan bersama rakan strategik Ikram Negeri Sembilan, Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM Usim) dan Kelab Rekreasi Penduduk Bandar Baru Nilai (KRPBBN).
Sebanyak 200.1 kilogram makanan berjaya diselamatkan dan diagihkan di kawasan Cempaka Puri, Nilai.
Bayangkan berapa banyak sehari. Pembaziran makanan berlaku apalagi ketika bulan Ramadan yang mulia ini.
Situasi sebegini sepatutnya tidak wajar dipandang biasa, tetapi ia perlu difikirkan dengan serius dan berstrategi agar sikap membazir tidak menjadi normal setiap kali bulan Ramadan dan juga pada bulan-bulan lain.
Hakikatnya, situasi itu bukan hanya terjadi di negara kita ini sahaja. Tetapi ‘wabak’ pembaziran makanan pada bulan Ramadan itu meluas juga di seluruh dunia.
Food Aid Foundation adalah sebuah NGO pada tahun 2013 yang merupakan bank makanan. Pengeluar, pengedar, pemborong, peruncit, syarikat atau orang ramai boleh menderma makanan yang tidak digunakan atau tidak diingini yang kemudian akan dikumpulkan dan diedarkan kepada badan amal, rumah kebajikan, organisasi kebajikan sukarelawan, komuniti pelarian, keluarga miskin, orang miskin dan dapur-dapur.
NGO itu mendapati rakyat Malaysia membuang 15,000 tan sehari sisa makanan. Bayangkan jika didarabkan dengan seminggu atau setahun? Sangatlah besar angka itu bukan?
Pendekatan yang sewajarnya
Selagi ia tidak dibendung dengan serius, selagi itulah ia akan berterusan. Maka, langkah terpenting untuk mengurangkan sisa makanan pada bulan Ramadan adalah dengan mengubah tingkah laku, meningkatkan kesedaran masyarakat, menggubal peraturan, menubuhkan bank makanan (food bank) dan penglibatan masyarakat.
Peraturan dan kempen kesedaran yang efektif perlu giat diadakan agar masyarakat turut sama berkomitmen untuk mengurangkan sampah dan menerapkan gaya hidup yang lebih lestari.
Menubuhkan bank makanan di kawasan kediaman dan juga komersial boleh menjadi kaedah yang sangat berkesan untuk memanfaatkan lebihan makanan secara berperikemanusiaan dan teratur.
Realitinya bank makanan di negara-negara seperti Mesir, India dan Pakistan telah beroperasi dengan jayanya, tetapi ada keperluan mendesak untuk inisiatif seperti ini dalam skala yang lebih besar untuk mengatasi ancaman pembaziran yang melanda ini.
Sebagai contoh lain, UAE adalah sebuah negara yang telah menyediakan garis panduan untuk membuang sisa makanan dan mempermudahkan pemberian lebihan makanan yang disediakan di restoran-restoran.
Sepanjang bulan Ramadan sejak 2015, negara itu juga telah melancarkan inisiatif yang disebut sebagai ‘Rumah Pintar’. Inisiatif tersebut mendorong rakyatnya untuk mengurangkan sampah pada bulan suci Ramadan.
Rumah pintar adalah teknologi pengumpulan sampah dalam bekas elektronik yang mengukur jumlah sampah yang dihasilkan setiap rumah. Inisiatif ini menyasarkan kawasan perumahan yang kebanyakannya mempunyai keluarga besar.
Apa yang menariknya, rumah yang menghasilkan sampah paling sedikit pada bulan Ramadan akan menerima hadiah wang tunai dan sijil untuk mendorong mereka berusaha mengurangkan sampah.
Pada bulan-bulan menjelang Ramadan, media kerajaan di negara-negara Arab melakukan kempen untuk menegur rakyatnya kerana makanan berlebihan. Di media sosial, pemilik restoran dan pelanggan mereka selalu menghindari meja yang berlebihan dan menyajikan makanan mengikut keperluan.
Solidariti jutaan yang berjuang mendapatkan makanan
Ayuh kita telusuri apa yang negara-negara Arab itu lakukan dengan lebihan bahan makanan pada bulan Ramadan.
Di Mesir, Egyptian Food Bank, sebuah entiti bukan kerajaan yang bergantung pada sumbangan melancarkan kempen kesedaran untuk mendesak agar tidak membuang makanan berlebihan dan menyalurkannya kepada yang memerlukan.
Organisasi ini memberi makan kepada 1.8 juta keluarga pada bulan Ramadan. sebilangan makanan ini berasal daripada lebihan jamuan hotel. Dan turut bersama dalam proses mengedarkan makanan ini iaitu sekitar 7,000 pertubuhan di seluruh negara.
Manakala di Arab Saudi, persatuan Kyairat dan Itaam melancarkan beberapa inisiatif untuk menyebarkan budaya menyelamatkan lebihan makanan di hotel, restoran dan ruang persidangan seterusnya menyampaikannya kepada yang memerlukan dan semua itu dilakukan oleh beberapa badan sukarelawan.
Di UAE, inisiatif Emirates Food Bank dan projek Preservation of Grace telah dilancarkan di bawah pengendalian Yayasan Bulan Sabit Merah Emirates serta inisiatif individu.
Seterusnya di Qatar, pasukan Wahhab mengumpulkan lebihan makanan dan mengagihkannya kepada yang memerlukan.
Di Jordan pula, inisiatif Family Kitchen yang telah dilancarkan pada tahun 2009 oleh puluhan sukarelawan dalam kalangan belia bekerjasama dengan hotel untuk menyelamatkan sisa makanan daripada dibuang ke tong sampah, menyusun dan mengemasnya dengan cara yang baik, dan mengedarkannya semula kepada mereka yang memerlukan melalui pusat pengedaran.
Di Maghribi melalui persatuan Zero Hungry, sukarelawan muda mengumpulkan lebihan makanan dari keluarga, restoran dan hotel dan menyebarkannya kepada yang memerlukan.
Zero hunger
Setiap hari terlalu banyak ibu bapa di seluruh dunia berjuang untuk memberi makanan berkhasiat kepada anak-anak mereka. Di dunia di mana kita menghasilkan makanan yang mencukupi untuk memberi makan kepada semua orang, 821 juta orang (1/9) masih tidur dengan perut kosong setiap malam. Lebih daripada itu, sepertiga mengalami kekurangan zat makanan.
Membasmi rasa lapar dan kekurangan zat makanan adalah salah satu cabaran besar masa kini. Bukan hanya akibat daripada makanan yang tidak mencukupi, makanan yang tidak berzat juga menyebabkan penderitaan dan kesihatan yang buruk serta memperlambatkan kemajuan dalam banyak bidang pembangunan lain seperti pendidikan dan pekerjaan.
Dunia telah mencapai kemajuan besar dalam mengurangkan kelaparan. Terdapat 216 juta orang yang lebih lapar daripada pada tahun 1990-92, walaupun terdapat peningkatan 1.9 bilion penduduk dunia. Walaupun ada jalannya, tetapi tidak ada satu pun organisasi yang dapat mencapai zero hunger (sifar kelaparan) jika berfungsi sendiri.
Sekiranya kita ingin melihat dunia yang bebas daripada kelaparan pada tahun 2030. Oleh itu, kerajaan, warganegara, organisasi masyarakat sivil dan sektor swasta mesti bekerjasama untuk melabur, berinovasi dan mencipta penyelesaian yang berkekalan.
Sebagai tambahan kepada inisiatif itu, rasionalnya para ahli agama, imam masjid juga memainkan peranan penting dalam mendidik dan memotivasi umat Islam untuk mengikuti prinsip-prinsip Islam seperti yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis.
Kita juga punya kaedah yang terbaik lagi rasional untuk mengurangkan pembaziran makanan pada bulan Ramadan iaitu menunjukkan solidariti dengan berjuta-juta orang di seluruh dunia yang berjuang untuk mendapatkan sekali makan setiap hari.
Marilah kita mulakan dengan diri kita muhasabah bersama. Sedangkan kita gigih melakukan ibadah, janganlah melakukan satu perkara yang ditegah Yang Maha Esa iaitu membazir. Maka, rancanglah pemakanan kita sekeluarga, jangan sampai menjadi sisa dan dibuang begitu saja.
Jangan biarkan pembaziran menjadi kebiasaan! Mu-jimat ke mu-bazir?
ATRIZA UMAR berkhidmat dengan Jabatan Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan Ikram Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.