Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mesej dari lokap: Satira dan parodi harus dipertahankan - Fahmi Reza

Aktivis Fahmi Reza hari ini menyatakan seruan agar satira dan parodi dipertahankan sebagai satu bentuk protes.

Menerusi nota catatan dari lokap, artis grafik itu berkata ia penting sebagai medium ekspresi kreatif.

"Dalam negara di mana seorang pereka grafik disensor, ditangkap dan dilokap untuk karya seninya, adalah amat penting untuk ekspresi kreatif ini - parodi dan satira sebagai satu bentuk protes - terus diamalkan dan dipertahankan," kata Fahmi.

Catatan itu dibacakan peguamnya, Yohendra Nadarajan selepas pendengaran reman di balai polis daerah Dang Wangi, di mana Fahmi ditahan sejak malam tadi dan dikenakan reman selama satu hari.

Menurut peguam Fahmi, polis semasa pendengaran reman memohon kepada majistret reman selama empat hari, bagaimanapun majistret Nitya Ravindran hanya membenarkan reman selama sehari.

Fahmi ditahan malam tadi kerana senarai lagu Spotify bertema "dengki ke" yang didakwa menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Berdasarkan pautan yang diberikan oleh Pengarah JSJ Bukit Aman Huzir Mohamed lewat malam tadi, senarai 'playlist' itu pada awalnya memaparkan potret baginda Permaisuri Agong bersama dengan kata-kata “This is Dengki Ke?”

Senarai lagu itu menampilkan 101 lagu Inggeris dan Melayu daripada pelbagai artis yang hampir semuanya bertemakan cemburu.

Pelbagai kumpulan hak asasi mengkritik penggunaan Akta Hasutan terhadapnya, atas dasar satira adalah bentuk kritikan yang diterima yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menggelarkan diri sebagai Kluster Kebebasan Bersuara, kumpulan itu menyifatkan penangkapan Fahmi sebagai tidak perlu dan menunjukkan tindak balas kerajaan yang terus menekan sebarang bentuk ekspresi yang kritikal terhadap pemerintah.

"Satira memainkan peranan penting dalam masyarakat sebagai ruang untuk berkomentar, berbincang dan berbahas mengenai nilai bersama.

"Satira politik khususnya memainkan peranan penting dengan mewujudkan ruang untuk humor," kata kumpulan itu dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata Malaysia kian terjerumus ke dalam lembah penindasan dan autoritarianisme.

Oleh demikian, Lim menyeru agar Fahmi segera dibebaskan tanpa syarat kerana menurutnya satira politik bukanlah satu jenayah.

"Apa yang lebih buruk lagi adalah tindakan pihak polis yang memecah masuk ke rumahnya dan menyebabkan kerosakan pada pintu masuk semasa penangkapan," kata Lim.

Menurut Bukit Aman, Fahmi disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

'Kenapa tidak panggil untuk beri keterangan?'

Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam) menyelar cara polis mengendalikan penahanan Fahmi, yang menurutnya sebagai "tidak perlu".

"Bukankah polis boleh mendapatkan maklumat dengan memanggil Fahmi untuk hadir memberi keterangan di balai polis ketika waktu pejabat; dan jika ia perlu disambung, ia dibuat pada hari seterusnya?

"Tindakan polis ini tampak melampau dan membangkitkan kemarahan orang ramai, yang melihatnya sebagai hukuman awal untuk menahannya di lokap polis," kata Presiden Hakam Gurdial Singh Nijar.

Dia berkata penggunaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dalam kes ini bertentangan dengan objektifnya kerana akta itu bukan untuk menyekat kebebasan bersuara.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah pula membangkitkan kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media 2021 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders untuk tahun ini.

"Sejak pentadbiran Perikatan Nasional, kebebasan bersuara dan hak berhimpun kian merosot dengan 'kembalinya' undang-undang berita palsu, penggantungan Parlimen yang menyekat suara kritika wakil rakyat, dan pendakwaan hina mahkamah dan denda yang dikenakan Malaysiakini.

"Ini adalah kegagalan jelas sebuah kerajaan yang tidak mempertahankan hak rakyat yang dijamin Perlembagaan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS