Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jeneral Myanmar dijadual hadir mesyuarat Asean - Laporan
Diterbitkan:  Apr 24, 2021 12:12 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Jeneral Min Aung Hlaing yang memimpin kudeta tentera di Myanmar dijadualkan akan hadir Mesyuarat Khas Pemimpin Asean di Jakarta hari ini, lapor media antarabangsa.

Pun begitu, BBC melaporkan tidak dapat disahkan sekiranya jeneral itu akan hadir mesyuarat tersebut.

Sejak kudeta di Myanmar pada 1 Feb lalu, lebih 700 orang maut dalam bantahan terhadap pemerintahan tentera.

Pertemuan di ibu negara Indonesia itu merupakan usaha pertama peringkat antarabangsa untuk menangani krisis di Myanmar.

Pemimpin dan menteri luar dari sepuluh negara Asean dijangka hadir.

Sementara itu, Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi dilaporkan berkata pemimpin dari Thailand, Laos dan Filipina tidak akan hadir mesyuarat khas itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiba di Jakarta hari ini untuk menghadiri pertemuan Asean itu.

Muhyiddin yang menaiki pesawat khas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, di Jakarta pada 8 pagi (waktu tempatan).

Mesyuarat Khas Pemimpin Asean yang diadakan di Sekretariat Asean di Jakarta ini akan membincangkan krisis di Myanmar dan akan mematuhi protokol kesihatan dan keselamatan yang ketat ketika pandemik Covid-19 masih menular.

Justeru, penyertaan perserta dalam mesyuarat itu akan dihadkan.

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, mempengerusikan mesyuarat yang berlangsung di Sekretariat Asean di Jakarta itu.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Sekretariat Asean, mesyuarat hari ini akan mematuhi protokol kesihatan dan keselamatan yang ketat yang ditetapkan oleh kerajaan Indonesia.

Rancangan untuk mengadakan mesyuarat khas Asean bagi membincangkan krisis di Myanmar itu telah berlangsung sejak beberapa minggu, diketuai oleh Indonesia dan Menteri Luarnnya.

Desakan politik Indonesia ini turut mendapat sokongan Malaysia, Brunei, dan Singapura.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS