Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Hakikatnya tidak mudah untuk Nurul Syahirah Azmi, 25 membuat keputusan memilih kerjaya mengikut kelulusan bidang atau menceburi dunia keusahawanan.

Pun begitu, graduan lepasan ijazah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berasa, dia telah melakukan satu keputusan tepat berhubung haluan hidupnya itu.

“Saya rasa, saya dah buat keputusan terbaik untuk meneruskan perniagaan,” kata pengusaha tudung syarikat Guzel.KL itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Syahirah yang kedengaran yakin akan keputusannya turut memberikan alasan keputusan itu dibuat sejak empat tahun lalu.

“Saya sukakan fleksibiliti, saya kurang gemar kerja pukul 9 dalam pejabat, saya sedar semua ini selepas melakukan latihan praktikal ketika masih belajar.

“Saya ada juga tanya pasal gaji kerja peguam dan bila kita bandingkan dengan kawan-kawan serta peguam kenalan yang saya yang sudah ada pengalaman lebih dua tahun, saya boleh nampak, dengan membuat bisnes, saya dapat hasilkan duit yang saya anggap lebih memadai dan berbaloi,” katanya.

Bagaimanapun, Syahirah tidak sama sekali meluahkan rasa kesal atau kecewa dengan langkahnya untuk memilih belajar jurusan perundangan.

“Saya tahu hak saya, perundangan dalam perniagaan bagaimana jadi saya tak rasa menyesal dengan sebarang keputusan saya,” jelasnya.

Turut menceritakan pengalamannya melakukan perniagaan dari mula, seorang lepasan graduan kewartawanan dari Universiti Selangor (Unisel) Nordiana Nuzuin Akmar Nordin, 32 (gambar, bawah).

“Saya memang minat bisnes dari mula belajar, saya memang suka cari duit dan berniaga dari sekecil-kecil barang.

“Saya pernah kerja dalam bidang korporat, namun waktu pejabat tak sesuai kerana saya lagi suka urus masa sendiri dan gaji serta waktu perniagaan juga terletak di tangan kita sendiri,” katanya yang memiliki syarikat percetakan Pretty Chaos & Paperdorable.

Bagaimanapun, Nordiana mengakui terdapat beberapa risiko yang perlu dia lalui setelah membuat keputusan untuk melakukan perniagaan, khususnya ketika ekonomi merundum akibat wabak Covid-19.

“Waktu pandemik memang saya terjejas teruk. Kerana sebelum ini saya pasti akan ada job seperti cetak kad kahwin, sampul duit raya atau kalendar dan sebagainya tetapi melihat keadaan syarikat lain pun terkesan teruk dengan Covid-19 ia beri impak kepada syarikat saya juga,” luahnya yang turut bersimpati dengan nasib peniaga-peniaga lain.

Syahirah dan Nordiana mewakili hampir kebanyakan lepasan graduan yang kini memilih untuk meneruskan kerjaya dalam bidang usahawan selain bekerja dalam bidang yang dipelajari.

Untuk rekod, melihat perkembangan trend pemilihan graduan dalam bindang keusahawan, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Jun tahun lalu juga telah melancarkan beberapa inisiatif bagi membantu golongan tersebut.

Menurut Menterinya, Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar, atas) antara inisiatif dilakukan adalah program rintis kerjasama antara Medac dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Technopreneurship Programs for Fresh Graduate.

"Program ini membangunkan kemahiran dan pengetahuan graduan mengenai teknologi 4.0 dan seterusnya berpotensi memberi peluang pekerjaan, selain menceburi bidang keusahawanan teknologi,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pakar yang menyatakan peningkatan pemilihan graduan untuk menceburi keusahawan akan merugikan negara.

Antaranya, Pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusof Saari, berkata, negara mengalami kerugian daripada pelaburan ke atas modal insan apabila kerajaan gagal menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi secukupnya untuk lepasan universiti

Kursus niaga lima tahun 

Sementara itu, Mohamad Shamim Satoni, 24, pula berkata dia mula berniaga dengan menjual barang secara kecil-kecilan sehingga kini mempunyai syarikat beserta pekerja.

Jelasnya yang merupakan lepasan ijazah kejuruteraan elektrikal, pengalaman itu satu proses pembelajarannya dalam dunia keusahawanan.

Shamim (gambar, bawah) juga berkata dia mengambil masa lima tahun untuk menghadiri kursus serta belajar daripada mereka yang berpengalaman mempunyai perniagaan sendiri.

“Saya hadir kursus, belajar dari yang berpengalaman, perlahan-lahan teliti cara orang berniaga sehingga akhirnya dalam lima ke enam tahun saya dah ada syarikat dan bawah saya ada 30 pekerja,” katanya yang mempunyai syarikat penjualan produk kesihatan dan kecantikan Widuri.

Seperti lepasan ijazah lain, Shamim juga tidak menyatakan rasa kesal memilih jurusan kejuruteraan dan menyifatkan tiada yang rugi jika ia melibatkan ilmu.

“Tiadalah rugi, ilmu kan. Semua benda tu kita belajar dan melakukan perniagaan pun kita perlukan ilmu.

“Namun saya akan tetap melakukan perniagaan walaupun diberi kesempatan untuk bekerja dalam bidang kejuruteraan.

"Walaupun dengan bisnes yang sekarang saya lakukan, saya akan berniaga benda lain. Rezeki Allah itu luas,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS