Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawatankuasa Tamat Darurat bincang persediaan Selasa ini

Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat akan memperincikan butiran desakan mereka pada Selasa ini sebagai persediaan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusinya Khalid Samad berkata antara yang akan dibincangkan nanti ialah siapa yang akan menyertai rombongan menghadap Agong.

Ditanya mengenai perkembangan terkini pertemuan tersebut Khalid yang juga pengarah komunikasi Amanah memberitahu Malaysiakini, belum ada tarikh khusus ditetapkan pihak Istana Negara.

"Pada hari pertemuan tersebut kami akan serahkan petisyen mendesak darurat ditamatkan bersama senarai tandatangan yang telah disaring dari segi nombor kad pengenalan dan sebagainya.

"Langkah-langkah yang disyorkan juga akan ditetapkan pada Selasa ini," katanya.

Pada 22 April lalu, sumber dari jawatankuasa berkenaan memberitahu Al-Sultan Abdullah sudah memberi perkenan untuk menerima menghadap mereka namun belum ada tarikh ditetapkan.

Katanya surat memaklumkan hal itu dihantar Istana Negara kepada Khalid.

Surat tersebut menyatakan Agong berkenaan membenarkan jawatankuasa terbabit menghadap agar mereka dapat menyerahkan memorandum berkaitan darurat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil ketika dihubungi mengesahkan pihak jawatankuasa telah menerima surat rasmi daripada istana.

"Ya, benar, pihak Istana Negara mengutuskan surat rasmi memaklumkan kepada jawatankuasa bahawa Tuanku memberi perkenan kepada jawatankuasa untuk menghadap," katanya yang juga anggota jawatankuasa berkenaan.

Pada 12 Mac lalu jawatankuasa itu - yang dianggotai beberapa ahli politik dan aktivis - melancarkan kempen mengumpul tandatangan termasuk secara dalam talian bagi memohon agar darurat yang dikuatkuasakan sekarang ditamatkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS