Aktivis dan pereka bebas, Fahmi Reza ditangkap kerana senarai lagu Spotify bertemakan 'dengki ke' yang didakwa menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menurut polis.
Berdasarkan pautan yang diberikan oleh Pengarah JSJ Bukit Aman Huzir Mohamed lewat malam tadi, senarai 'playlist' itu pada awalnya memaparkan potret baginda Permaisuri Agong bersama dengan kata-kata “This is Dengki Ke?”
Senarai lagu itu menampilkan 101 lagu Inggeris dan Melayu daripada pelbagai artis yang hampir semuanya bertemakan cemburu.
Lagu pertama dalam senarai itu, misalnya adalah ‘Jealousy’ oleh kumpulan rock Britain, Queen.
Pengecualian untuk tema cemburu termasuk 'Mr Brightside' oleh The Killers dan lagu 'God Save The Queen' oleh Sex Pistols.
Senarai lagu itu pada asalnya dinamakan "Ini Dengki Ke?" juga, tetapi nama serta potret permaisuri telah dikeluarkan daripada platform streaming muzik itu.
Pun begitu, senarai lagu Sportify tersebut boleh diakses dalam talian.
Sebelum ini, Tunku Permaisuri Agong dilapor memberi maklum balas terhadap soalan berkaitan pemvaksinan Covid-19 di istana dengan perkataan "dengki ker?"
Ini menimbulkan kritikan meluas di platform media sosial, menjadikan tanda pagar #DengkiKe paling popular di Twitter Malaysia.
Fahmi dikatakan membuat siri karya berbentuk satira berdasarkan isu tersebut, yang kemudiannya diterbitkan di saluran media sosialnya sejak beberapa hari lalu.
Bukit Aman juga memaklumkan malam tadi kes Fahmi disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Polis juga akan memohon perintah tahanan reman terhadap Fahmi daripada majistret hari ini.