Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Minyak masak tak sempat rentas sempadan dipintas PGA, KPDNHEP
Diterbitkan:  Apr 22, 2021 4:44 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Kelantan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) negeri merampas lebih 8,000 paket minyak masak dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Supt Azhari Nusi, berkata rampasan berkenaan dilakukan di Kampung Salor, Pasir Mas kira-kira jam 6 petang.

Katanya sebanyak 8,415 paket minyak masak dirampas dengan nilai dianggarkan sebanyak RM33,660.

Menurut Azhari sebelum serbuan dibuat sepasukan anggota PGA7 bersama kakitangan KPDNHEP Kelantan membuat pemerhatian di belakang sebuah kedai berdasarkan maklumat yang diterima.

Mereka kemudian menghampiri beberapa lelaki yang mencurigakan dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis ketika mereka sedang menyusun kotak ke dalam dua buah lori jenis Hicom.

"Bagaimanapun lelaki terbabit melarikan diri dan gagal dikesan, kecuali seorang pemandu lori berusia 30-an yang ditahan untuk membantu siasatan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kotak terbabit mengandungi minyak masak dipercayai untuk diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram.

"Selain lori, minyak itu turut dimuatkan ke dalam kereta Proton Saga Aeroback dan Proton Saga," katanya dalam sidang media di Markas Taktikal Briged Tenggara Lubok Stok di Pasir Mas, hari ini.

Hadir sama Pegawai Penguatkuasa Ketua Unit Operasi KPDNHEP Kelantan, Mohd Hashim Mat Daud.

Tambah Azhari pemandu lori berkenan ditahan manakala lori serta minyak masak yang dirampas itu diserahkan kepada KPDNHEP Kelantan bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Barang Bekalan 1961.

Azhari berkata permintaan minyak masak tempatan di Thailand sangat tinggi dan dijual pada harga dua kali ganda daripada asal iaitu RM5.20 sekilogram berbanding RM2.50 di pasaran tempatan.

Sementara itu Azhari turut mendedahkan kejayaan pihaknya mematahkan cubaan menyeludup 186 kilogram ayam sejuk beku di pangkalan haram Kak Mah di Rantau Panjang, malam tadi.

"Hasil rampasan itu kami menahan dua lelaki tempatan berusia 20 dan 30 tahun yang dipercayai turut serta memunggah kotak berisi ayam sejuk beku ke dalam kereta jenis Perodua Axia berwarna putih.

“Kesemua barang kes dan tangkapan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis),” jelasnya.

Tambah Azhari, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS