Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PR1MA ikrar siapkan projek, jemputan khas untuk projek JB
Diterbitkan:  Apr 22, 2021 4:26 PM
Dikemaskini: Apr 23, 2021 5:18 AM

Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) hari ini menjelaskan komitmennya untuk menyiapkan projek pembangunan kediaman di bawah seliaanya dalam tempoh masa yang dijadualkan.

Ini susulan kenyataan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang membidas agensi kerajaan itu kerana menganjurkan majlis berbuka puasa di sebalik aduan dan rungutan orang ramai bahawa rumah yang dibeli lambat disiapkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, PR1MA memetik contoh projek di kawasan Akmal - Residensi Tebrau - yang akan disiapkan pada akhir bulan ini, walaupun terdapat kelewatan.

Residensi Tebrau, yang terdiri dari 1,284 unit dengan keluasan bermula dari 757 kaki persegi hingga 1,053 kaki persegi, sepatutnya siap pada Februari 2020.

“Meskipun projek tersebut mengalami kelewatan, namun ia telahpun disiapkan, yang mana pemilikan kosong telah dikeluarkan dan pembeli rumah Residensi Tebrau akan mendapat kunci rumah mereka secara berfasa mulai hujung April ini.

“PR1MA juga akan menjemput ahli pihak yang berkepentingan di Johor Bahru semasa upacara penyerahan kunci di Johor pada bulan Mei nanti,” kata agensi itu.

Sementara itu, PR1MA menegaskan bahawa tegaskan tiada projek yang akan diketepikan dan setiap projek syarikat itu akan diberikan penekanan yang sama rata kepada pihak kontraktor untuk disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut syarikat itu, PR1MA juga akan meneruskan agenda perumahan mampu milik bagi M40 secara konsisten.

Akmal semalam menyelar PR1MA berhubung anjuran majlis berbuka puasa yang berlangsung pada 18 April di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Ia dirasmikan oleh Pengerusi PR1MA yang juga adalah Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim.

PR1MA dilancarkan pada tahun 2011 oleh kerajaan pimpinan Najib Razak dengan sasaran sebagai penyelesaian kepada masalah rumah mampu milik golongan berpendapatan sederhana.

Undian dijalankan bagi pembeli yang memilih untuk memiliki harta tanah ini. Matlamat penubuhannya adalah untuk membina 500,000 unit menjelang pada tahun 2020.

Namun, banyak projek PR1MA dibelenggu oleh kelewatan dan pembatalan.

Pada bulan Disember tahun lalu, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM172 juta untuk projek PR1MA yang dibatalkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS