Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Susulan pendedahan sekolah melakukan "pemeriksaan datang bulan" terhadap pelajar perempuan bagi mengelakkan mereka ponteng solat, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan.

Bagaimanapun, menurut pandangan peribadi ahli parlimen Beaufort, tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan oleh mana-mana sekolah kepada pelajar.

“Kita baru dapat maklumat pagi ini, perkara ini sedang disiasat dan kalau sudah ada maklumat, kita akan berikan kenyataan.

“Tetapi pandangan peribadi, memang tak patutlah. Tak sesuai nak periksa haid seseorang. Namun melihat keadaan kita tiada maklumat (perkara ini berlaku di kolej Mara) saya tidak boleh berkata lebih-lebih.

“Kita tunggu laporan dulu ya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Baru-baru ini, gempar pendedahan amalan memeriksa pelajar perempuan datang bulan, yang dikatakan berlaku sejak 20 tahun lalu.

Perbuatan yang dilakukan guru, warden asrama dan pengawas itu antara lain meminta pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita, melakukan calitan pada kemaluan dengan kapas, tisu atau jari untuk membuktikan mereka tidak boleh bersolat kerana haid.

Malah pelajar juga diraba di bahagian alat sulit untuk mengetahui sama ada mereka memakai tuala wanita.

Malaysiakini dimaklumkan bahawa amalan seumpama ini kebanyakannya berlaku di sekolah berasrama penuh namun ada juga kes yang terjadi di sekolah harian dan sekolah agama persendirian.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menyifatkan amalan sedemikian tidak wajar kerana setiap orang mempunyai maruah yang wajib dihormati, termasuk hak menutup bahagian sulit daripada dilihat oleh orang lain.

Selain itu, beberapa NGO hak wanita turut mengeluarkan kenyataan bersama mengecam tindakan itu dan menggesa Mara dan Kementerian Pendidikan memberikan jawapan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya memberitahu Malaysiakini, dia masih tidak mendapat maklumat dan tidak dapat mengulasnya buat masa ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS