Paling Popular
Terkini

Sebanyak tujuh kluster sektor pendidikan dilaporkan di Kelantan setakat hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata ia melibatkan sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Katanya, tujuh kluster sektor pendidikan itu termasuklah Kluster Jalan Pasir Mas-Pohon Tanjung, Kluster Jalan Hospital, Kluster Pulai Chondong, Kluster Tangok dan Kluster Kok Lanas.

"Tujuh kluster berkenaan merekodkan 464 kes di 10 daerah melibatkan jangkitan dalam kalangan guru, kakitangan dan pelajar sekolah.

"Kota Bharu merekodkan bilangan paling ramai iaitu 189 individu diikuti Tumpat 113 dan Tanah Merah, 55 individu," katanya ketika dihubungi media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan berkata kes Covid-19 dalam Sektor Pendidikan di Malaysia sehingga 20 April 2021.

Menterinya Dr Adham Baba berkata, bermula dari 1 Januari sehingga 20 April 2021, sebanyak 83 kluster Covid-19 dengan jumlah 4,868 kes melibatkan Sektor Pendidikan telah dilaporkan oleh CPRC Kebangsaan KKM.

"Daripada jumlah 83 kluster tersebut, sebanyak 49 (59.04 peratus) kluster dengan 2,617 kes adalah masih aktif dan 34 (40.96 peratus) kluster dengan 2,251 kes telah diisytiharkan tamat," jelasnya pada satu kenyataan, hari ini. 

Dalam perkembangan lain ditanya mengenai orang ramai yang hadir untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Zaini berkata kebanyakan mereka yang hadir adalah kontak rapat.

Katanya, kesemua mereka yang hadir adalah penduduk di Kota Bharu.

"Sepatutnya di situ adalah tapak program Madinah Ramadan yang kita jadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), tetapi kini ditukar kepada pusat pengambilan sampel Covid-19," katanya.

Sementara itu pihaknya memaklumkan fasa kedua suntikan vaksin Covid-19 bermula esok membabitkan warga emas yang berisiko tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS