Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kasthuri padam hantaran bantuan Ramadan selepas ‘serangan’
Diterbitkan:  Apr 21, 2021 6:05 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto telah memadamkan hantaran berhubung bantuan Ramadan daripada Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZ) daripada akaun Facebook miliknya.

Ini selepas dia “diserang” di media sosial yang mempersoalkan mengapa seorang bukan Islam mengedarkan bantuan dari PUZ.

"Saya adalah wakil rakyat dipilih kepada semua, tanpa mengira bangsa, agama dan juga fahaman politik.

"Sejak serangan terhadap saya dan pejabat saya oleh golongan fanatik ekstremis semakin meningkat, malangnya PUZ juga secara tidak langsung diserang.

"Oleh itu, saya telah memadamkan semua hantaran berhubung bantuan PUZ dan diedarkan oleh pejabat kami," kata Kasthuri dalam satu hantaran, hari ini.

Menurutnya, adalah sangat menyedihkan setelah lebih 60 tahun, rakyat Malaysia masih menjadi sasaran kumpulan yang menggunakan kata-kata kesat, menyakitkan, perkauman dan seksis.

"Beberapa hari yang lalu, saya membantu, saya mengunjungi ke rumah mereka, dan pergi ke masjid untuk menyerahkannya juga, bukan dari saya tetapi dari Pusat Urus Zakat.

"Isunya berbangkit semalam ketika pihak tertentu mula menyerang saya dengan perkauman, dan kata-kata fanatik digunakan mempersoalkan bagaimana saya sebagai orang bukan Islam memberikan bantuan dari PUZ," katanya.

EMBED:

I am an elected representative who serves all, regardless of race, religion and even political affiliation. A few days...

Posted by Kasthuri Patto on Tuesday, April 20, 2021

Dia berkata bahawa dirinya tidak mempunyai niat lain selain memastikan bantuan diberikan secepat mungkin kepada keluarga yang memerlukan dan mereka yang telah datang ke pejabatnya untuk memohon bantuan.

"Dalam satu kes, kami dikunjungi oleh seorang warga emas yang mengalami patah lutut untuk mendapatkan tongkat untuk membantunya bergerak dan bantuan kewangan dari seorang ibu kepada seorang anak perempuan yang menderita akibat Talasemia," katanya.

Baru-baru ini, rakan Ahli Parlimen DAP Kasthuri, Steven Sim, dari Bukit Mertajam, juga mendapati motifnya dipersoalkan setelah dia melakukan sejumlah tindakan kebajikan untuk menolong orang miskin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS