Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MIC sambut baik hasrat k’jaan perkasa Pelan Tindakan Masyarakat India
Diterbitkan:  Apr 21, 2021 2:12 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Naib Presiden MIC, Sivarrajh Chandran, menyambut baik hasrat Kementerian Perpaduan Negara mahu memperkasakan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) bagi membantu kaum tersebut.

Dia turut mencadangkan kementerian terbabit agar meningkatkan jumlah peruntukan tahunan untuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11, Mitra hanya diperuntukkan RM100 Juta setiap tahun yang bersamaan dengan RM500 Juta untuk tempoh lima tahun.

“Walaupun terdapat rekod bahawa Mitra tidak dapat menghabiskan peruntukan tahunannya sebelum ini, namun dengan melaksanakan pendekatan baru yang lebih luas merangkumi segenap keperluan agenda pembangunan sosioekonomi Masyarakat India, sudah tentu Mitra memerlukan peruntukan yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada 12 April lalu, Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique berkata, pelan MIB akan ditambah baik dengan pembahagian tiga kluster iaitu modal insan, keusahawanan dan kerjaya serta kesejahteraan sosial bagi memastikan golongan sasar menerima manfaat menyeluruh.

Mengulas lanjut, Sivarrajh juga berpandangan, Mitra harus menumpukan usaha memberi bantuan kepada kaum India secara bersasar.

“Saya juga percaya bahawa sudah tiba masanya peruntukan yang diberikan kepada Mitra setiap tahun digunakan untuk tujuan mewujudkan skim latihan dan pembangunan kemahiran yang tersasar dengan kerjasama industri - industri yang terpilih agar kita juga dapat melatih tenaga kerja negara dari Masyarakat India secara lebih efektif,” katanya.

Selain itu, dia turut menjelaskan tumpuan peruntukan harus diberi bagi memperkasa sistem pendidikan prasekolah bagi kaum India.

Meskipun Mitra telah melakukan beberapa kerjasama bagi meningkatkan usaha berkenaan, namun jelasnya, terdapat beberapa kekangan yang perlu diperbaiki.

“Namun sistem sedia ada mempunyai beberapa kekangan terutamanya dari segi penyampaian sumber kepada institusi yang terlibat.

"Ini menjejaskan kebolehan institusi itu beroperasi secara cekap. Saya harap masalah ini turut diberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya dalam proses penambahbaikan pelan MIB pada kali ini,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS