Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PIBG SJKT dakwa ada bukti bekas MB serah tanah pada sekolah

Status tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Ular di Kulim, Kedah sebelum ini menjadi teka-teki susulan terdapat pertikaian mengenainya.

Kini persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah itu pula tampil mendakwa mempunyai bukti bekas menteri besar Kedah Allahyarham Azizan Abdul Razak menyerahkan tanah tersebut kepada pihak sekolah.

Pengerusi PIBG SJK (T) Ladang Sungai Ular, K Muniandy, 47 memberitahu Malaysiakini bahawa dia mempunyai beberapa dokumen menunjukkan bekas menteri besar PAS itu menyerahkan tanah seluas 0.5 ekar untuk kegunaan sekolah pada 2009.

"Saya mempunyai dokumen-dokumen yang membuktikan YB Azizan serahkan tanah itu kepada sekolah.

"PKNK (Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah) selaku pemilik tanah, secara bertulis memperuntukkan tanah seluas 0.5 ekar kepada sekolah bagi kegunaan pembinaan bangunan tambahan.

"Tiada sebarang syarat diletakkan ketika PKNK menganugerahkan tanah tersebut.

"Jadi, saya hairan kenapa kerajaan Kedah sekarang menegaskan bahawa tanah itu hanya dipajak kepada pihak sekolah," katanya.

Perjanjian dengan PKNK

Dia turut berkongsi dokumen-dokumen itu bersama Malaysiakini.

Pada surat bertarikh 29 Sept 2009 yang dilihat Malaysiakini itu, PKNK memperuntukkan tanah seluas 0.5 ekar di kawasan padang sekolah.

Difahamkan PKNK memperuntukkan tanah tersebut ekoran surat permohonan oleh pihak sekolah bertarikh 9 Sept untuk membangunkan sebuah bangunan tambahan tiga tingkat.

Azizan merupakan menteri besar Kedah ketika gabungan Pakatan Rakyat merangkumi PAS, PKR dan DAP membentuk kerajaan negeri ekoran kejayaan mereka memenangi majoriti kerusi dalam PRU 2008.

Untuk rekod, baru-baru ini Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) menandatangani satu perjanjian dengan pihak PKNK.

Perjanjian itu memberi izin pihak sekolah menduduki tanah sedia ada secara dan kebenaran itu perlu diperbaharui setiap tiga tahun.

Pada surat perjanjian bertarikh 8 Feb itu PKNK meletakkan beberapa syarat kepada pihak sebagai syarat pajakan.

Antara syarat dikenakan PKNK, sebarang binaan bangunan atau kemudahan tambahan selain yang sedia ada tidak dibenarkan.

PKNK juga berhak menarik balik kebenaran menduduki secara sementara itu pada bila-bila masa dengan memberikan notis awal tiga bulan.

Pun begitu, Ahli Parlimen Kulim - Bandar Baharu Saifuddin Nasution Ismail berkata ketika pentadbiran Azizan, menteri besar telah menyerahkan tanah tersebut secara percuma kepada pihak sekolah.

Sekolah itu dibina pada tahun 1936 dan kini mempunyai 173 murid.

Sementara itu, Muniandy turut mendakwa bahawa pihak LPS dan guru besar sekolah bersekongkol dengan pihak tertentu menyembunyikan surat PKNK yang menganugerahkan tanah tersebut.

"Saya boleh sahkan, LPS sekolah dan guru besar sengaja menyembunyikan surat itu atas sebab-sebab tertentu.

"Saya mengambil masa hampir dua bulan untuk mencari surat untuk membuktikan bahawa tanah telah pun diberikan kepada sekolah," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi LPS untuk mendapatkan maklum balas.

Dalam pada itu, ketika dihubungi pegawai khas kepada menteri besar Kedah BK Kumaresan berkata dia sedia berjumpa dengan PIBG untuk berbincang isu status tanah sekolah itu.

"Saya sebagai pegawai khas menteri besar Kedah, telah melakukan apa yang patut, berdasarkan surat-surat dan dokumen yang di serahkan pada saya.

"Saya tidak pasti, apakah perlunya pihak LPS perlu merahsiakan dokumen penting seperti ini.

"Jika benar pihak PIBG mempunyai bukti secukupnya, saya sarankan pihak PIBG melaporkan perkara ini di balai polis berdekatan atau datang berjumpa dengan saya untuk mendapatkan temujanji menteri besar Kedah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS