mk-logo
Berita
Majlis Gurdwara: PM tak kata Malaysia hampir bankrap
Diterbitkan:  Apr 20, 2021 11:27 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) menjelaskan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak mengisytiharkan bahawa Malaysia "hampir muflis" pada majlis minum petang sempena sambutan Vaisakhi di Petaling Jaya, Selangor pada 12 April lalu.

Presidennya Jagir Singh berkata semua orang yang hadir pada majlis itu boleh mengesahkan perkara berkenaan.

“Apa yang perdana menteri sampaikan ialah, disebabkan Covid-19 dan keadaan ekonomi, negara harus menanggung perbelanjaan besar lebih daripada RM600 bilion dan ini menyebabkan kerajaan tidak lagi mempunyai banyak wang.

“Ini berbeza daripada berkata ‘negara hampir muflis’,” katanya merujuk kepada ciapan Finance Twitter berkenaan hal itu.

Kenyataan Jagir itu selari dengan laporan Malaysiakini yang memetik Muhyiddin sebagai berkata: 

"Sudah banyak kita belanjakan wang tahun ni, tahun lepas. Apa sebab? Covid-19. RM340 bilion untuk pakej-pakej rangsangan, RM322 bilion untuk belanjawan.

"Saya pergi sekolah tapi saya tak pandai kira how much is that, saya fikir banyak orang Sikh faham, it is more than RM600 billion, that's a big sum of money (ia lebih daripada RM600 bilion, itu jumlah yang sangat besar).

"What i am trying to say here, we don't have much money left (Apa yang saya cuba nak sampaikan di sini, kita dah tak banyak wang yang tinggal)”.

Jagir berkata MGC berharap agar kenyataannya itu dapat memberi penjelasan terhadap ucapan perdana menteri pada acara berkenaan.

Katanya, MGC menghargai keprihatinan kerajaan memperuntukkan RM4 juta kepada 120 gurdwara (rumah ibadat penganut Sikh) di negara ini, termasuk RM1 juta yang dicadangkan kepada Pusat Sikh Malaysia.

“Dengan senario ekonomi semasa dan kerajaan menanggung perbelanjaan besar lebih RM600 juta, MGC sangat menghargai peruntukan tersebut,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS