Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis nafi dua pertiga dari 2576 kes maut babitkan penunggang p-kelui
Diterbitkan:  Apr 19, 2021 3:49 PM
Dikemaskini: 2:34 PM

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, hari ini memaklumkan bahawa jumlah kematian membabitkan penunggang motosikal p-hailing atau p-kelui pada tahun lalu adalah 17 orang.

Mengulas laporan media baru-baru ini yang mendakwa dua pertiga daripada 2576 kes maut melibatkan motosikal p-kelui, Pengarah JSPT, Azisman Alias berkata ia tidak tepat.

“Berdasarkan statistik JSPT pada tahun 2019, sebanyak 3,959 kematian direkodkan melibatkan pengguna motosikal berbanding 3,118 kematian pada tahun 2020, iaitu menurun 21 peratus.

“Bagi kemalangan melibatkan motosikal p-hailing, pada tahun 2019 mencatatkan satu kematian dan lima cedera ringan berbanding tahun 2020 mencatatkan 17 kematian, 10 cedera parah dan 64 cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 9 April lalu, media tersalah petik Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong kononnya berkata dua pertiga daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal dalam tempoh sembilan bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada tahun lalu melibatkan penunggang p-kelui, iaitu perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan menggunakan motosikal.

Ketika menyampaikan perkara itu, Wee dikatakan memetik statistik dari JSPT.

Mengulas lanjut, Azisman menasihatkan kepada mana-mana pihak supaya tidak mengelurkan sebarang kenyataan tanpa merujuk sumber daripada pihak JSPT.

“Ini kerana maklumat tersebut boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai yang mungkin akan dijadikan sebagai rujukan oleh pihak ketiga pada masa akan datang,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS