Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Amanah, PKR nafi hadir majlis iftar Pemuda Umno Titiwangsa
Diterbitkan:  Apr 18, 2021 4:39 PM
Dikemaskini: Apr 19, 2021 8:00 AM

  • Dikemas kini dengan penjelasan penganjur.

Sayap pemuda PKR dan Amanah di Wilayah Persekutuan (WP) menafikan kehadiran mereka dalam sebuah majlis iftar anjuran Pemuda Umno Titiwangsa yang diadakan semalam.

Meskipun mendapat jemputan untuk menghadiri program terbabit, Ketua Pemuda Amanah Batu Anhdeer Supardy Lazuardi, dia menolak untuk hadir kerana berasa ragu-ragu akan jemputan berkenaan.

“Mengetahui dan dijemput atas sifat kenalan lama saya terpaksa menolak untuk turut serta kerana terdapat hanky-panky (keraguan) dalam utusan jemputan dan intisari program,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Manakala, Ketua Pemuda PKR (AMK) WP P Prabakaran pula berkata, dia tidak mendapat sebarang jemputan malah menafikan kehadiran wakil pimpinan partinya dalam majlis tersebut.

“Di sini saya ingin menyatakan, bahawa saya tidak ada menerima sebarang jemputan dari mana-mana pihak untuk menghadiri program anjuran beliau.

“Saya juga menolak sebarang dakwaan, bahawa ada wakil ahli keadilan WP yang hadir ke program tersebut,” kata Prabakaran dalam satu kenyataan media hari ini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Pemuda Umno bahagian Titiwangsa telah menganjurkan majlis Iftar Ramadan Ukhwah Islamiyah bersama Dewan Pemuda PAS Titiwangsa, Pemuda Bersatu (Armada), Pemuda PKR (AM) dan Pemuda Amanah Titiwangsa.

Menurut senarai jemputan, antara yang dilaporkan hadir selain Anhdeer dan wakil AMK WP yang tidak dinamakan adalah Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi; Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Rashidi Abd Razak; Ketua Dewan Pemuda PAS Titiwangsa, Abdul Rahman Hamzah; Ketua Armada Titiwangsa, Ad Adib Shaharuddin.

Jelas Ketua Pemuda Umno Titiwangsa Nazir Hussin Akhtar Hussin, majlis itu diadakan bagi mengambil kesempatan dalam bulan Ramadan untuk berbincang untuk membina masa depan yang lebih baik demi bangsa dan negara.

'Kenapa tipu senarai jemputan?'

Sementara itu, mengulas lanjut, Anhdeer turut mempersoalkan mengapa Pemuda Umno Titiwangsa perlu menipu senarai kehadiran program tersebut.

“Jika benar mereka perjuangkan Islam, kenapa perlu menipu dalam senarai kehadiran program.

“Perkara mudah saja dipandang enteng apa lagi tentang nasib dan hala tuju orang melayu dan rakyat,” jelasnya.

Sementara Prabakaran juga menambah, tidak wajar bagi Nazir membuat dakwaan palsu dengan menyatakan setiap pemuda parti di WP boleh duduk semeja.

“Dakwaan dia ini adalah sangat tidak tepat dan boleh mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat.

“Saya berharap agar Nazir tidak lagi menggunakan nama AMK bagi menaikkan populariti diri sendiri,” jelasnya.

Versi penganjur

Sementara itu, pihak penganjur Majlis Iftar Ramadan Ukhwah Islamiyah memberitahu Malaysiakini, Anhdeer bersama beberapa ahli jawatankuasa Amanah telah menyatakan persetujuan untuk hadir.

Namun, jelas penganjur, setibanya di lokasi mereka pulang semula kerana tidak berpuas hati dengan tetamu jemputan lain yang turut hadir.

“Mereka seramai lapan orang telah hadir dan meninggalkan majlis sejurus melihat tetamu jemputan lain di meja VIP.

“Malah mereka juga antara yang bersetuju hadir untuk bersama (sejak) dari awal. Adalah tidak adil memberikan kenyataan sebegini kepada media.

“Walau bagaimanapun pihak penganjur berlapang dada kerana percaya kebaikan pasti dapat mengatasi kelemahan di sesuatu perkara.

“Perkara ini di luar jangkaan dan di luar kawalan penganjur,” kata wakil penganjur yang enggan namanya disebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS