Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anda yang rasis, kata Liu dan Ramasamy menjawab Mahathir

Gara-gara digelar sebagai golongan ekstrem dalam DAP oleh Dr Mahathir Mohamad, Ronnie Liu hari ini mendakwa bekas perdana menteri itu sengaja mahu menimbulkan perpecahan dalam parti berkenaan.

Liu yang merupakan ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP mempersoalkan mengapa pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu hanya menamakan dia dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy sebagai pihak yang ekstrem dalam DAP, dan bukannya yang lain.

“Tak adillah. Seolah-olah dia menyatakan hanya Ramasamy dan Ronnie yang ekstrem, tak ada yang lain yang ekstrem (dalam DAP).

“Macam Lim Guan Eng, Lim Kit Siang tak ekstrem. Hanya kami berdua saja.

“Ini hanya helah Mahathir untuk menghancurkan hubungan antara saya dan kedua-dua Lim itu,” katanya tengah hari tadi.

Liu diminta mengulas kenyataan Mahathir dalam wawancara dengan Malaysiakini pada Rabu semasa memberikan penjelasan berhubung kenyataan terdahulunya bahawa DAP “ada kalanya ekstrem”.

Dalam wawancara itu, Mahathir menamakan Liu dan Ramasamy sebagai contoh pemimpin DAP yang disifatkannya sebagai ekstrem.

Marah sebab suruh undur

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai Kit Siang dan Guan Eng, kata Mahathir, dua beranak itu memang pernah menjadi ekstrem namun ia tidak lagi begitu kini.

“Dia cuba cetuskan konflik antara pemimpin DAP. Inilah niat dia, busuk hati,” kata Liu.

Meskipun Mahathir tidak menjelaskan lanjut mengapa dia memanggil Liu sebagai esktrem, Adun Sungai Pelek itu percaya ia ekoran kritikan yang pernah dibuatnya terhadap Mahathir.

Dia juga percaya ia ada kaitan dengan tindakannya menggesa Mahathir berundur dan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim semasa Pakatan Harapan (PH) masih berkuasa dahulu.

“Saya rasa dia masih marah dengan saya kerana saya sokong Anwar. Saya minta dia serah jawatan (kepada Anwar) tapi dia tak mahu, jadi dia marahlah,” kata Liu.

Kenyataan Mahathir itu hadir hanya beberapa hari selepas Liu memberikan ucapan bahawa DAP tidak perlu 'mencairkan' kecinaannya bagi mendapatkan sokongan orang Melayu. 

Liu telah menjawab kritikan yang dihadapinya ekoran kenyataan tersebut, dengan menafikan dakwaan cauvinis yang dilemparkan pengkritik terhadapnya.

Dia turut menyifatkan pengkritik bersikap prejudis terhadapnya. 

Kata Liu hari ini, Mahathir sendiri sebenarnya seorang yang ekstrem kerana mahu memansuhkan sekolah vernakular dan mahu menggantikannya dengan sekolah satu sistem.

Sementara itu, Ramasamy dalam satu kenyataan hari ini berkata, kenyataan Mahathir itu membuktikan bahawa dia melakukan perkara yang betul selama ini.

Beri gambaran diri sendiri

“Apabila ahli atau pemimpin atau bekas pemimpin Umno menuduh orang lain sebagai ekstremis, mereka mempunyai satu kerangka pemikiran yang khusus.

“Kalau pemimpin bukan Melayu enggan menjadi watak sampingan kepada jaguh-jaguh kaum di dalam Umno, atau jaguh-jaguh agama di dalam PAS, mereka dilabelkan sebagai ekstremis, anti-Melayu, anti-Islam, dan macam-macam lagi.

“Bagi pemimpin seperti Mahathir, dia beranggapan pemimpin Cina dan India dalam DAP patut bersikap seperti pada pengampu (sycophants) dalam MCA, MIC atau Gerakan.

“Sebarang usaha untuk imej masing-masing dipandang sebagai tindakan memberontak dan menyimpang daripada jalan si pengampu yang menghambakan diri mereka itu,” kata Ramasamy.

Dia turut menyalahkan Mahathir kerana dikatakan menyebabkan masalah polarisasi kaum dan agama di negara ini semasa memang jawatan sebagai perdana menteri kali pertama dahulu.

“Jika seseorang yang sangat rasis dan pentaasub seperti Mahathir boleh panggil saya serta yang lain-lain sebagai ekstremis, maka ia benar-benar memberi gambaran tentang dirinya sendiri, serta apa yang dia bayangkan untuk masa depan negara ini.

“Macam yang saya katakan tadi, ia menjadi satu keistimewaan dan penghormatan yang jarang-jarang saya dapat dilabelkan sebagai ekstremis.

“Ia hanya menunjukkan bahawa saya tidak akan tunduk kepada rasis dan pentaasub agama yang mahu merampas hak asasi manusia daripada rakyat Malaysia,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS