Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timbalan menteri arah sekolah batal syarat kaum untuk kelab, sukan

Sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, Johor membatalkan syarat kaum dan jantina untuk beberapa kegiatan kokurikulum, susulan campur tangan Timbalan Menteri Pendidikan II Mah Hang Soon.

Terdahulu, SMK Dato' Bentara Luar mengeluarkan notis kepada pelajar Tingkatan 1 bagi meminta mereka memilih tiga kegiatan kokurikulum. Bagaimanapun ia mengundang perhatian setelah beberapa kegiatan dihadkan kepada kaum dan jantina tertentu.

Antaranya, hanya pelajar Melayu dibenarkan memilih sukan bola sepak dan sepak takraw manakala bola jaring untuk pelajar perempuan Melayu sahaja. Sukan bola keranjang dan ping pong pula dihadkan kepada pelajar lelaki dan perempuan Cina sahaja.

Pengetua sekolah Abdul Razak Hamid dilaporkan mempertahankan pembahagian itu dengan berkata ia dibuat atas sebab sekolah mempunyai kemudahan padang yang terhad.

Mah Hang Soon

Hari ini, Mah memberitahu Malaysiakini yang dia sendiri telah menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri Johor agar dasar itu dibatalkan.

Dia juga menyifatkan dasar itu sebagai "kesilapan" kerana bertentangan dengan falsafah pendidikan negara.

"Ia satu kesilapan di pihak pengetua...Melalui kegiatan sukanlah kita boleh menggalakkan integrasi, pelajar bermain bersama (dan) meningkatkan perpaduan, keakraban dan semangat kebersamaan.

"Saya sudah minta sekolah mengubah dasar ini, ia tidak sepatutnya berlaku. Ia bertentangan dengan pelan pembangunan (pendidikan kebangsaan) kita," katanya.

Satu daripada lima aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 ialah memupuk perpaduan di kalangan pelajar.

Mah turut menunjukkan kepada Malaysiakini versi kemas kini senarai kegiatan kokurikulum SMK Dato’ Bentara Luar. Ia tidak lagi mengenakan sekatan kaum dan jantina untuk mana-mana sukan.

Selain kegiatan sukan, sekolah itu juga sebelum ini menetapkan hanya kaum tertentu boleh menyertai sejumlah kelab berdasarkan bahasa, mata pelajaran, kebajikan dan kepercayaan.

Kelab Pendidikan Moral dan Kelab Interact sebelum ini dikhususkan untuk pelajar Cina dan India sahaja.

Kelab Pendidikan Islam pula terhad untuk pelajar Melayu, sementara Persatuan Agama Buddha dan Persatuan Bahasa Cina untuk pelajar Cina sahaja.

Tiada lagi had ini dalam senarai yang telah dikemas kini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS