Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda: Keraguan IGP, Ayob Khan pada JIPS bukti perlunya IPCMC
Diterbitkan:  Apr 17, 2021 11:48 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Tindakan dua pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meragui keberkesanan salah satu jabatan dalaman mereka menunjukkan betapa perlunya sebuah badan bebas ditubuhkan bagi memantau pasukan keselamatan itu, kata Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Ketua penerangannya Zaidel Baharuddin berkata dua pegawai yang dimaksudkan ialah Ketua Polis Negara (IGP) Abdul Hamid Bador dan Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay.

Abdul Hamid dilaporkan berkata dia mempersoal keberkesanan Jabatan Integriti dan Pemantauan Standard (JIPS) PDRM kerana dipercayai melindungi pegawai tertentu yang disiasat.

Ayob Khan pula berkata menyerahkan nama anggota PDRM yang dikaitkan dengan individu dikehendaki polis, Nicky Liow Soon Hee, kepada JIPS adalah pilihan terakhir buatnya.

Menurut Ayob Khan, dia mahu 34 anggota polis dan agensi penguatkuasaan terbabit dikenakan tindakan undang-undang mengikut kesalahan jenayah terancang.

"Saya tak akan serahkan pada JIPS untuk ambil tindakan. Saya nak ambil tindakan di bawah jenayah terancang.

"Bagi saya itu paling tepat, mudah, tegas untuk kita ambil," katanya di Johor pada 14 Apr lalu. 

Zaidel berkata kedua-dua kenyataan pegawai kanan PDRM itu menunjukkan perlunya suatu badan semak dan imbang yang berada di luar pasukan terbabit ditubuhkan.

"Badan ini bukan saja perlu bebas dan berasingan daripada PDRM, malah mesti diperkasa dengan kuasa yang membolehkan mereka terus mengambil tindakan, sama ada menjalankan siasatan hinggalah mengambil tindakan disiplin," katanya.

Justeru kata Zaidel Muda berpendapat tiba masanya untuk kerajaan hari ini menimbang semula usul menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menangani isu berkenaan.

"Cubaan kerajaan Perikatan Nasional menggantikan IPCMC dengan Suruhanjaya Bebas Pengaduan Polis (IPCC) dilihat tidak akan menyelesaikan masalah kerana ia tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengambil tindakan disiplin ataupun menjalankan siasatan secara efektif," katanya.

"Penting untuk kerajaan hari ini mengembalikan kepercayaan rakyat kepada PDRM.

"Bukan itu saja malah tiba masanya untuk Kementerian Dalam Negeri memperkenalkan pembaharuan bagi memastikan integriti dan ketelusan ke atas badan-badan penguatkuasaan negara dapat dilaksanakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS