Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PH: Kalau kering idea, PN boleh cedok idea PH isu harga barang
Diterbitkan:  Apr 16, 2021 9:50 PM
Dikemaskini: 2:05 PM

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Shazni Munir Mohd Ithnin secara menyindir mencadangkan supaya kerajaan Peikatan Nasional (PN) mengguna pakai mekanisme kerajaan PH sebelum ini dalam mengawal harga barangan.

Ia berikutan harga barangan keperluan yang dikatakan terus meningkat di beberapa buah negeri menjelang Ramadan.

"Seandainya #KerajaanGagal ini kekeringan idea, cedok mekanisme yang telah diguna pakai ketika PH mentadbir pun tiada masalah.

"Diletakkan kebertanggungjawaban langsung bawah timbalan perdana menteri yang mengetuai Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, majlis ini berperanan mengkoordinasi kementerian-kementerian yang terlibat dalam memastikan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) benar-benar dilaksanakan dan harga barangan terkawal.

"Kerajaan juga harus memastikan bekalan bahan mentah dan keperluan harian mencukupi menjelang Syawal serta tiada kenaikan harga barangan yang membebankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, tanda pagar #KerajaanGagal sohor di Twitter hari ini apabila pengguna media sosial menggunakannya sebagai kritikan kepada PN.

Ia gara-gara kekecewaan mereka akan kerajaan PN yang disifatkan tidak cekap mengendali isu seperti Covid-19 dan ekonomi negara.

Perkembangan itu hadir ketika kerajaan dilihat gagal menangani penularan Covid-19 dengan kes harian kekal empat digit sejak bermulanya gelombang ketiga September tahun lalu - gelombang jangkitan yang juga dikaitkan dengan pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

Mengulas lanjut, Shazni berkata ketiadaan langkah proaktif dari menteri dan timbalan menteri PN membuktikan bahawa ia adalah sebuah "#KerajaanGagal serta tidak peduli dengan nasib rakyat".

"Rakyat bukan sahaja ditekan dengan pelbagai SOP yang ketat, bahkan di sesetengah negeri seperti Kelantan langsung tidak dibenarkan untuk berniaga di bazar Ramadan.

"Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Sudahlah tidak mempunyai peluang untuk mencari rezeki, harga bahan mentah pula melambung tinggi," tambah Shazni.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS