Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
SKMM minta FB, Twitter, YouTube turunkan video raya iklan judi
Diterbitkan:  Apr 16, 2021 12:24 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata mereka telah berkomunikasi dengan penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan video raya yang mempromosikan judi.

Ini selepas tular satu klip video lagu raya yang mengajak umat Islam berjudi pada bulan Ramadan bagi mendapatkan dana untuk menyambut hari raya Aidilfitri.

SKMM berkata, penurunan klip video berkenaan akan dibuat berdasarkan terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan penyedia platform yang berpangkalan di luar negara.

"Kegiatan judi dan promosi judi dalam talian adalah tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Penghasilan kandungan adalah tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia untuk dipatuhi oleh mereka yang terlibat dengan penghasilan dan pengedaran kandungan," katanya dalam kenyataan.

Menurut SKMM, pihaknya sejak 12 Mac lalu menyekat secara laluan pantas (fast-track) dengan kerjasama PDRM untuk mengarahkan penyedia perkhidmatan internet menyekat akses ke atas laman sesawang yang melanggar undang-undang.

"Pada masa yang sama, pihak yang terlibat seperti pihak produksi dan pelakon seharusnya perlu lebih peka untuk tidak turut sama bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian, yang jelas merupakan satu kesalahan," katanya.

Terdahulu tular klip video lagu raya oleh sebuah syarikat judi yang mempromosikan judi ketika bulan Ramadan, dengan watak lelaki memakai baju Melayu dan perempuan memakai tudung.

Klip video selama 2.48 minit itu tular di media sosial sejak malam tadi dan menerima kecaman netizen.

Ekoran daripada itu beberapa pihak menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mempromosi perjudian dalam talian, yang dianggap menghina kesucian bulan Ramadan.

Sementara itu, SKMM berkata dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikuti kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia yang majmuk.

"Pengguna media sosial juga perlulah lebih bertanggungjawab dengan melaporkan perkara-perkara sebegini secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan mereka dan bukannya menyebarluaskan kandungan berkenaan.

"Perbuatan menyebarluaskan kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang terlibat dalam menyebarkan dakyah mereka mempromosikan perjudian dalam talian yang boleh memudaratkan masyarakat Malaysia," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS