Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKP: Tarawih di Kelantan dibenar dengan kehadiran terhad
Diterbitkan:  Apr 15, 2021 11:05 PM
Dikemaskini: 3:05 PM

Solat berjemaah dengan had kehadiran tertentu dibenarkan di masjid serta surau di tujuh daerah di Kelantan sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula tengah malam ini sehingga 29 April.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata bagi solat Jumaat, fardhu dan tarawih serta qiamullail di masjid negeri, bandar serta jajahan pula ia dibenarkan dengan kehadiran 70 peratus daripada keluasan ruang.

Menurutnya bagi solat sunat tarawih di masjid mukim, surau dan musolla dibenarkan dengan kehadiran 50 peratus mengikut kapasiti sebenar dengan penjarakan fizikal satu meter dan boleh dilaksanakan lapan rakaat dengan tidak lebih 45 minit, tidak termasuk solat Isyak.

"Kebenaran solat fardu, tarawih dan Jumaat serta aktiviti pengimarahan masjid di tujuh daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang dan Bachok mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

"Bagaimanapun, tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat, manakala tazkirah subuh, Asar, tadarus al-Quran dan lain-lain adalah dibenarkan dengan kapasiti yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Tambah Mohamad Rizam jamuan berbuka puasa, bersahur dan moreh juga tidak dibenarkan kecuali secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.

Selain itu jemaah digalakkan untuk mengambil wuduk di rumah masing-masing.

Bagi jajahan tidak terbabit PKP seperti Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli, kebenaran tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan sebelum ini.

"Masjid juga tidak dibenarkan untuk mendapatkan khidmat imam bagi solat sunat tarawih dan penceramah bagi program Ihya Ramadan dari luar Kelantan.

"SOP sebagaimana yang ditetapkan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musolla.

"Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini. Bersamalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS