Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TNB nasihat pemilik premis tukar nama elak tanggung bil penyewa
Diterbitkan:  Apr 15, 2021 5:13 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pemilik premis untuk menukar nama pemilik akaun (pengguna berdaftar) kepada nama penyewa premis melalui proses change of tenancy (pertukaran penyewa, atau COT) agar pihak yang terbabit bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bil elektrik mereka.

TNB memaklumkan melalui langkah itu, pemilik sesebuah premis dapat mengelak daripada menanggung tunggakan bil elektrik yang ditinggalkan penyewa sekiranya berlaku.

Katanya apabila permohonan pertukaran nama dilaksanakan penyewa premis akan menandatangani kontrak baru dengan TNB.

"Urusan pertukaran nama ini boleh dilakukan melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau dengan mengunjungi kedai tenaga yang berdekatan.

"Langkah-langkah dan dokumen sokongan yang diperlukan bagi tujuan permohonan pertukaran nama boleh diperoleh di portal myTNB," menurut TNB dalam kenyataan.

TNB turut memaklumkan sekiranya penyewa berhenti menyewa premis berkenaan, pemilik boleh menukar nama pemegang akaun kepada penyewa baru atau kembali ke nama pemilik asal sekiranya tidak menyewakan lagi premis tersebut.

Malah apabila berlaku pertukaran nama pengguna berdaftar daripada pemilik premis kepada penyewa, kata TNB, sebarang permohonan pemotongan bekalan bagi tujuan menamatkan akaun dengan TNB hanya akan diterima daripada pengguna berdaftar saja.

TNB berkata mereka turut menyediakan perkhidmatan menerusi portal dan aplikasi myTNB agar pemilik premis dapat memantau corak penggunaan dan pembayaran bil bulanan penyewa dengan lebih mudah selain membolehkan mereka memastikan pembayaran bil sentiasa dibuat oleh penyewa.

Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di 1300-88-5454, e-mel ke [email protected] atau menerusi Facebook TNB CareLine bagi sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan TNB.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS