mk-logo
Berita
6 kementerian teliti dasar kabotaj: K’jaan tak cekap, kata Lim
Diterbitkan:  Apr 15, 2021 1:51 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak boleh berlengah lagi dalam membuat semakan berhubung dasar kabotaj negara terhadap industri digital dan perkapalan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Lim yang juga bekas menteri kewangan berkata Muhyiddin perlu membuat keputusan serta- merta antara meneruskan dasar kabotaj “gagal” Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong atau menyelamatkan masa depan digital Malaysia.

Lim menyifatkan arahan kabinet supaya enam kementerian menyiasat kesan dasar kabotaj negara dan membentangkan cadangan dalam masa 14 hari sebagai “taktik berlengah-lengah”.

"Adakah kerajaan PN sekarang begitu tidak tegas dan tidak kompeten sehingga mereka perlu melibatkan enam kementerian dalam perkara yang mudah seperti ini?” soal Lim dalam kenyataan, hari ini.

Kementerian-kementerian itu ialah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (telah).

Pentadbiran Pakatan Harapan pada Mac 2019 mengecualikan kapal-kapal bukan Malaysia daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1) sekiranya terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan Malaysia.

Bagaimanapun, pengecualian tersebut ditarik semula pada November 2020 oleh Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Pada 10 April lalu, empat syarikat gergasi teknologi - Amazon, Facebook, Google dan Microsoft - mengeluarkan kenyataan bersama mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan pengecualian kabotaj yang meluluskan operasi kapal asing terlibat pembaikan kabel dasar laut.

Empat syarikat tersebut berkata penarikan pengecualian kabotaj memberi kesan negatif terhadap daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi global.

Menurut syarikat teknologi itu, dasar tersebut juga bercanggah dengan Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) - yang dilancarkan kerajaan Muhyiddin pada bulan Februari - yang bertujuan menarik lebih banyak pendaratan kabel bawah laut antarabangsa ke Malaysia.

Pada November tahun lalu tiga syarikat - Microsoft, Google dan Facebook- telah bersama-sama menulis surat kepada Muhyiddin berhubung hal sama.

Ketiga-tiga syarikat itu memberi amaran, dasar itu hanya akan mewujudkan situasi hanya satu syarikat Malaysia bakal memonopoli projek pembaikan kabel bawah laut.

Pun begitu, Wee tetap tegas dalam mengembalikan dasar kabotaj.

Mengulas lanjut, Lim, ahli Parlimen Bagan, berkata bawah PH, dasar kabotaj diputuskan dengan berkesan oleh Kementerian Pengangkutan tanpa sebarang masalah berdasarkan amalan terbaik antarabangsa.

"Jelas pembatalan oleh Wee itu akan menghalang pencapaian objektif MyDigital, seperti menarik lebih banyak kabel dasar laut dan pelaburan pusat data ke negara ini, meningkatkan daya saing ekonomi melalui digitalisasi, dan mengembangkan bakat digital yang kompetitif di peringkat antarabangsa.

"Malangnya, Wee tidak nampak kerugian yang dihadapi Malaysia tetapi hanya memikirkan jatuhnya air muka sendiri dan pendedahan ketidakcekapannya sekiranya pengecualian kabotaj dikembalikan semula," katanya.

Kata Lim, DAP juga menyokong seruan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Rais Hussin untuk mengembalikan pengecualian kabotaj demi menyelamatkan puluhan bilion pelaburan kritikal dalam sektor teknologi digital dan masa depan negara kita.

Rais sebelum ini secara terbuka menyalahkan Wee yang membatalkan pengecualian kabotaj menyebabkan Malaysia diketepikan oleh Facebook dan Google yang memilih Singapura dan Indonesia.

Rais mengatakan bahawa turut dikaji semula adalah pelaburan berpotensi pusat data bernilai RM12-15 bilion pelaburan asing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS