Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tamak punca rasuah penjawat awam, bukan gaji rendah'
Diterbitkan:  Apr 15, 2021 9:14 AM
Dikemaskini: 1:14 AM

Sejak sekian lama gaji rendah dikaitkan sebagai faktor utama rasuah di kalangan penjawat awam, malah sesetengah pihak menggesa kerajaan supaya mengkaji semula gaji di sektor berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata, gaji rendah bukan faktor menyumbang kepada rasuah dan salah guna kuasa. 

Sebaliknya katanya, ketamakan dan kekurangan integriti serta lemah iman mendorong segelintir penjawat awam menerima rasuah.

Azam, yang berkhidmat dengan SPRM selama 37 tahun, membuat kesimpulan itu berdasarkan trend pegawai berpangkat tinggi yang ditahan dalam pelbagai operasi penguatkuasaan.

Ini termasuk isu melibatkan kartel monopoli tender yang menyaksikan penahanan pegawai tinggi kerajaan dari gred JUSA B dan C baru-baru ini.

"Dalam kes-kes rasuah rasuah ni, sepanjang pengalaman kami, boleh dikatakan hampir semua bukan kerana mereka lakukan kesalahan  akibat desakan hidup.

"Ini lebih kepada ketamakan dan juga kurang iman, dan juga berlaku peluang dan ruang (untuk melakukan rasuah)," kata Azam dalam wawancara bersama stesen TV Alhijrah semalam.

"Jadi saya nak balik kepada soalan tadi, adakah (rasuah berlaku) kerana gaji? Jawapannya tidak.

"Bagaimana pula mereka yang berpengaruh? Nanti ada kes yang saya akan umum dalam tempoh mungkin seminggu dua nanti, yang mereka ni bukan gaji tak cukup, dah kaya raya dah, apa lagi yang dia nak? Tamak, simple answer, kerana ni berkaitan dengan nilai diri dia," katanya.

Wajibkan kursus tingkat integriti

Katanya, berbanding sekarang, pada masa dahulu penjawat awam diwajibkan menghadiri kursus untuk meningkatkan integriti mereka.

"Saya rasa investment kerajaan untuk meningkatkan integriti dah mula berkurangan. 

"Dahulu kami dipaksa hadir kursus, walaupun gaji kurang, dewasa ni pemaksaan pegawai dan ahli politik untuk meningkat nilai diri ni kurang. 

"Jadi sampai masanya kursus penting. Contoh kursus kenegaraan yang perlu dihadiri oleh pegawai kerajaan, perlu dipaksa balik," jelasnya.

Azam turut menyebut mengenai kewujudan kartel monopoli tender yang mengawal 150 syarikat dan merasuah penjawat awam untuk memonopoli projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion.

Sebagai balasan, katanya, pegawai kerajaan menerima lima hingga 10 peratus sogokan daripada nilai projek.

Azam berkata, negara ini memerlukan undang-undang khusus untuk menangani isu tersebut.

"Di bawah Akta Persaingan, berlaku persaingan tidak sihat, tapi isu tentang monopoli - contohnya - saya dapat projek kemudian saya alibabakan dan sebagainya itu tak ada. 

"Jadi di sini kita lihat undang-undang ni perlu diadakan, tapi bukan tu saja. Kita lihat oleh kerana ada orang dalam terlibat bocorkan maklumat sehingga kartel ini mula berleluasa, yang tu salah," katanya.

Ali Baba, merupakan amalan di mana syarikat Bumiputera memperoleh kontrak kerajaan dan memberikan sub-kontrak kepada syarikat bukan Bumiputera.

Selain itu, Azam berkata tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang membocorkan maklumat kerajaan.

Azam berkata dia percaya bahawa kes membabitkan kartel tender monopoli boleh dikurangkan dengan kerajaan memperkenalkan undang-undang yang dipanggil pengisytiharan kepentingan (BO).

"Mungkin sampai masanya kita memperkenalkan undang-undang dipanggil pengisytiharan kepentingan / beneficiary ownership di mana BO memang ada dalam Akta Syarikat," jelasnya.

Katanya, sekiranya gagal, pihak berkenaan boleh didakwa di mahkamah.

"Yang ni sedang di bawah peringkat kajian oleh SPRM sekarang untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dalam masa terdekat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS