Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Baru 259,000 penduduk Kelantan daftar untuk vaksin Covid-19

Pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kelantan dilihat masih rendah berdasarkan individu yang mendaftar melalui aplikasi mySejahtera.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata sehingga semalam hanya seramai 259,000 daripada kira-kira 2 juta penduduk di negeri itu yang memberikan nama masing-masing untuk divaksin.

Jelasnya, angka itu masih terlalu rendah berbanding jumlah sasaran iaitu 1.2 juta penerima dalam kalangan penduduk Kelantan.

"Setakat ini mereka yang mendaftar untuk menerima vaksin masih rendah dan Kelantan berada di kedudukan negeri ketiga terakhir di Malaysia yang masih rendah mendaftar.

"Jadi, jabatan kesihatan berharap orang ramai dapat mendaftar segera untuk menerima vaksin secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Tambah Zaini, sikap tunggu dan lihat menjadi punca kegagalan penduduk di Kelantan daripada mendaftarkan diri mereka.

Katanya, kebanyakan mereka mungkin mahu melihat orang lain menerima vaksin terlebih dahulu sebelum bertindak mendaftarkan diri masing-masing.

"Disebabkan jumlah yang masih rendah, Jabatan Kesihatan Kelantan dengan pelbagai agensi termasuk kerajaan negeri akan mengadakan pelbagai program turun padang bagi memberi pendedahan pentingnya suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Dalam perkembangan sama Zaini berkata, pihaknya akan memulakan suntikan kepada warga emas yang sudah mendaftar mulai 26 April ini.

Katanya, ia susulan selesainya suntikan yang membabitkan petugas barisan hadapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS