Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai polis dikaitkan 'Geng Nicky' disiasat di bawah jenayah terancang
Diterbitkan:  Apr 14, 2021 2:50 PM
Dikemaskini: Apr 17, 2021 3:53 AM

Polis Johor tidak akan menyerahkan nama pegawai mereka yang dikaitkan dengan ketua geng dalam buruan Nicky Liow Soon Hee kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Piawaian (JIPS) polis, sebaliknya akan mengambil tindakan di bawah kesalahan jenayah terancang.

Ditanya bila polis akan memberikan senarai nama 34 pegawai polis dan agensi penguatkuasaan kepada Bukit Aman, Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay mengatakan tindakan tatatertib merupakan keutamaan yang terakhir.

"Keutamaan tindakan tatatertib last (terakhir) sekali. Kami masih mengemas kini siasatan. Insya-Allah dah lengkap nanti kita akan tangkap.

"Saya tak akan serahkan pada JIPS untuk ambil tindakan. Saya nak ambil tindakan di bawah jenayah terancang. Bagi saya itu paling tepat, mudah, tegas untuk kita ambil," katanya dalam sidang media di Johor hari ini.

Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) membahas jenayah terancang dan di bawah akta itu, pesalah akan dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Ayob meminta orang ramai memberi lebih banyak masa kepada polis untuk menyiasat, sambil memberi gambaran bahawa terdapat lebih daripada 34 pegawai yang terlibat bekerjasama dengan Nicky.

Bulan lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan bahawa 34 pegawai polis dan pegawai penguat kuasa dikaitkan dengan Nicky.

Sebanyak 68 individu yang dipercayai anggota "Geng Nicky" ditangkap, namun, Nicky sendiri melarikan diri sebelum operasi itu dilakukan setelah mendapat maklumat daripada pemberi maklumat.

Alamat terakhir lelaki berusia 33 tahun itu yang diketahui adalah di Trigon Residence, Puchong, Selangor.

Menurut siasatan polis, Nicky terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah, terutamanya Macau Scam dan pengubahan wang haram.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS