Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kluster kedua catatkan korban tertinggi tamat
Diterbitkan:  Apr 14, 2021 8:08 AM
Dikemaskini: 12:09 AM

Kluster Pasai di Sarawak akhirnya tamat setelah hampir empat bulan dengan jumlah kematian seramai 25 orang seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan semalam.

Ini menjadikan kluster jangkitan Covid-19 berkenaan adalah kluster kedua yang mencatatkan kematian tertinggi di Malaysia selepas kluster Sri Petaling dengan jumlah 34 kematian.

Sementara itu kluster Tembok di Perak, yang juga telah tamat mencatatkan angka kematian ketiga tertinggi, dengan enam kematian.

Sebahagian besar kluster tidak merekodkan sebarang kematian manakala kluster yang mencatatkan kematian kebiasannya mencatatkan kurang daripada lima kematian.

Kluster Pasai pertama kali dikesan di kalangan penduduk rumah panjang di Sibu pada 9 Januari 2021, ketika Sarawak mula mencatatkan peningkatan kes Covid-19.

Pada masa itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan di rumah panjang adalah "kebimbangan terbesar" kementerian berkenaan di kawasan luar bandar.

Pada Februari lalu, dia memaklumkan kluster berkenaan berpunca daripada mereka yang melakukan perjalanan rentas negeri dan menjalani kuarantin di rumah.

Kes indeks merupakan individu yang melakukan perjalanan dari Johor ke Sarawak pada 29 Disember 2020 akibat kematian bapanya.

Dia diuji negatif ketika melakukan ujian calitan di Lapangan Terbang Kuching tetapi kemudiannya dikesan positif pada 5 Januari di sebuah klinik.

"Pesakit seharusnya dikuarantin di sebuah hotel tetapi akhirnya dikuarantin di rumah panjang, dan di situlah terjadinya jangkitan," kata Noor Hisham.

Setelah penduduk rumah panjang mendapatkan rawatan perubatan, seramai 46 petugas kesihatan juga dijangkiti.

Katanya, petugas kesihatan beranggapan kawasan itu merupakan zon hijau, namun apabila terdapat kes dikesan mereka turut dijangkiti.

Kluster ini juga menyaksikan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) dikenakan ke atas lapan rumah panjang.

Kluster Pasai berakhir dengan 2,693 kes dan merebak dari Sibu ke 20 daerah lain di Sarawak.

Daerah berkenaan adalah Mukah, Miri, Sri Aman, Kanowit, Kapit, Simunjan, Dalat, Bintulu, Kuching, Julau, Sarikei, Selangau, Beluru, Betong, Belaga, Subis, Song, Lundu, Sebauh dan Bukit Mabong.

Sarawak semalam mencatatkan kes baru harian tertinggi dengan 607 kes baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS