Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP gesa k'jaan hentikan penggabungan Celcom-Digi
Diterbitkan:  Apr 13, 2021 9:39 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Seorang anggota parlimen pembangkang hari ini menggesa kerajaan menghentikan penggabungan antara Digi dan Celcom, dengan menyatakan langkah itu akan menjejaskan pengguna.

Anggota Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berkata pengakuan Axiata Group Bhd sendiri bahawa penggabungan antara dua anak syarikat berkenaan di Bangladesh tidak dapat dilakukan kerana undang-undang anti persaingan, sepatutnya turut diterapkan di Malaysia.

"Sekiranya negara seperti Bangladesh mempunyai undang-undang untuk melarang penggabungan tersebut untuk melindungi kepentingan penggunanya, kita, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam hal perlindungan hak dan kepentingan pengguna di negara kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chong yang merupakan bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, berkata, penggabungan itu akan menyebabkan mereka menguasai lebih 50 peratus pelanggan telekomunikasi di negara ini, yang akan mengurangkan pilihan kepada pengguna.

Sehubungan dengan itu, Chong berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menggunakan Seksyen 133 Akta Komunikasi dan Multimedia (1998) untuk mengelakkan penggabungan berkenaan.

Saham majoriti Digi dimiliki oleh Telenor milik kerajaan Norway, manakala Axiata Group adalah syarikat berkaitan kerajaan di mana tiga pemegang saham utamanya adalah Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Amanah Saham Bumiputera - yang secara kolektif memiliki 64 peratus kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Bekas perdana menteri Najib Razak semalam berkata penggabungan itu mungkin akan menguntungkan Digi, yang dikuasai syarikat asing berbanding Celcom.

Telenor dan Axiata Group berusaha melakukan rundingan penggabungan pada tahun 2019, namun ditamatkan selepas empat bulan.

Wakil presiden eksekutif Telenor dan ketua operasi Asia, Jørgen C Arentz Rostrup memberitahu The Edge bahawa syarikat itu "sangat berdedikasi" di Malaysia dan Asia.

Katanya, penggabungan itu bertujuan mewujudkan sebuah syarikat besar dan berkeupayaan di Malaysia yang akan menguntungkan kedua-dua syarikat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS