Bekas perdana menteri Najib Razak meramalkan hasrat kerajaan Perikatan Nasional untuk menurunkan kes jangkitan harian Covid-19 pada Mei tidak akan kesampaian.
Najib berkata, ia mengambil kira trend peningkatan kes sejak 7 April, amaran gelombang keempat serta kadar vaksininasi yang menurutnya “sangat rendah”
“Menteri pertahanan beri amaran bahawa Malaysia mungkin berdepan gelombang keempat Covid biarpun gelombang ketiga masih belum reda.
“Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt diberi KKM naik ke 1.07 iaitu paling tinggi sejak 4 Feb 2021 lalu dan di atas paras neutral 1.00,” katanya dalam hantaran Facebook, sambil memuat naik tangkapan layar laporan berita berkaitan.
Najib juga memetik kenyataan menteri bahawa bekalan vaksin yang mencukupi hanya dijangka pulih pada Jun.
“Nampaknya hasrat kerajaan untuk turunkan kes jangkitan baru setiap hari kepada dua angka menjelang bulan Mei dengan pelaksanaan darurat/PKP pada bulan Januari lalu bakal tidak kesampaian.
“Apapun, kita jangan leka semasa menyambut bulan Ramadan,” katanya.