Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam: Hakim kelihatan 'bermotivasi' pertanggungjawabkan Najib

Mahkamah Rayuan hari ini mendengar hujah peguam bahawa hakim perbicaraan kes rasuah melibatkan dana RM42 juta SRC International kelihatan "bermotivasi" untuk mengadili Najib Razak.

Peguam bela Najib, Farhan Read berhujah demikian semasa pendengaran rayuan untuk membatalkan sabitan dan hukuman bersalah ke atas bekas perdana menteri itu.

“Nampaknya wujud keinginan untuk mempertanggungjawabkan tertuduh. Hakim bermotivasi untuk menahan tertuduh supaya dipertanggungjawabkan.

“Undang-undang jenayah bukanlah jalan tepat bagi tertuduh untuk dipertanggungjawabkan, seperti yang dituduh telah dipertanggungjawabkan ketika pilihan raya umum (PRU) ke-14,” Farhan berhujah di hadapan tiga panel hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil.

“Akhirnya, hakim yang bijaksana ingin seseorang bertanggungjawab. Hakim yang bijaksana melihatnya sebagai tuntutan moral.

"Faktanya adalah bahawa satu-satunya orang yang tinggal di Malaysia yang (hakim) dapat pertanggungjawabkan dalam kes itu adalah Najib.

"Watak utama Jho Low dan Nik Faisal (Ariff Kamil, bekas CEO SRC) telah melarikan diri dari bidang kuasa (Malaysia)," kata Farhan, sambil menambah bahawa ini sangat penting untuk diambil kira dalam kes SRC bernilai RM42 juta.

"Keinginan hakim bijaksana untuk mempertanggungjawabkan seseorang dapat dimengerti kerana ini (RM42 juta dana SRC) adalah kerugian bagi Malaysia, tetapi ia disalah letak pada orang yang ditinggalkan di belakang.

"Kami dapat memahami hakim dan cabaran yang harus dia hadapi ketika dia menjadi perhatian dalam kes ini," kata Farhan.

Panel terdiri daripada dua lagi hakim Mahkamah Rayuan, Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

Sebelum ini, pasukan peguam Najib berkata, Mahkamah Tinggi seakan telah menambah hujah tambahan pada keputusan penghakiman penuh anggota parlimen Pekan itu.

Peguam Farhan Read.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah ke atas satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta daripada SRC.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasukan pembelaan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu rayuan.

SRC adalah bekas anak syarikat 1MDB. Syarikat itu kemudiannya dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Selain menjadi perdana menteri pada masa itu, Najib juga merupakan menteri kewangan, penasihat SRC, dan ketua lembaga penasihat 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS