Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat Kelantan diminta 'PKP diri sendiri'
Diterbitkan:  Apr 12, 2021 8:33 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Berikutan peningkatan kes Covid-19 di Kelantan, kerajaan negeri berharap agar seluruh rakyat mengamalkan perintah kawalan pergerakan (PKP) kepada diri sendiri.

Perkara itu ditegaskan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, yang turut berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengekalkan status Kelantan sebagai negeri di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

'Kita berharap MKN akan terus mengekalkan status PKPB dan bukan PKP di negeri Kelantan ini dan berharap rakyat semua dapat membantu ke arah status daripada PKPB ke PKPP (Pemulihan).

"PKP diri sendiri. Bersama kita mematuhi prosedur operasi standart (SOP) yang ditetapkan demi kebaikan bersama," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Dalam perkembangan wabak itu di Kelantan katanya, kegusaran ramai pihak masih tinggi, walaupun kes pada hari ini menunjukkan sedikit penurunan, namun keputusan yang masih belum diterima adalah melebihi angka 2,000 sampel.

Lebih membimbangkan jelas Izani, sebanyak 22 peratus daripada kes positif adalah merupakan kes yang tiada ‘epid link’ iaitu tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster dan itu menunjukkan Covid-19 berada dalam komuniti dan ruang untuk berjangkit adalah terlalu tinggi.

"Dalam masa 14 hari ini, kes jangkitan terlalu tinggi iaitu 1,029 kes dan sebanyak 24 kluster yang masih aktif di negeri ini.

"Kadar Penggunaan Katil (BOR) di fasiliti hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) telah melebihi 70 peratus, malahan ada di antaranya telah melebihi 100 peratus," katanya.

Tambah anggota dewan undangan negeri (Adun) Kijang itu, Kelantan mencatatkan kadar kebolehjangkitan (RT) yang tinggi dengan nilai RT 1.12 iaitu lebih tinggi daripada RT nasional iaitu 1.06.

"Kadar RT di negeri Kelantan menunjukkan paras membimbangkan kerana kekal di atas paras 1.00 sejak beberapa minggu yang lalu," kata Izani sambil menegaskan kerajaan negeri sentiasa mengambil berat keresahan dan kebajikan rakyat di negeri ini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS