Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peniaga terkesan bazar Ramadan di Kelantan dibatal mendadak

Golongan peniaga yang sepatutnya memulakan perniagaan di bazar Ramadan di Kelantan esok mengakui terkesan dan kesal dengan pengumuman kerajaan negeri membatalkan operasi Bazar Ramadan.

Ini selepas kerajaan Kelantan semalam menjelaskan pembatalan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri pada tahun ini dibuat berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Tinjauan Malaysiakini dalam kalangan peniaga bazar Ramadan di Kelantan mendapati ribuan ringgit sudah dibelanjakan mereka sebagai modal berniaga, namun hangus begitu sahaja ekoran pembatalan berkenaan.

Seorang peniaga murtabak dan kuih muih, Aminuddin Zaki, 47, berkata dia berasa sedih dan kecewa dengan pengumuman kerajaan negeri selepas mengeluarkan modal berniaga kira-kira RM1,000.

"Mula-mula dapat tahu pasal pembatalan operasi ni, perasaan saya bercampur-baur. Rasa sedih dan kecewa sebab dah keluarkan modal untuk niaga.

“Sebab saya hanya pandai kerja berniaga murtabak sahaja. Pendapatan lain tak ada. Modal niaga saya dah habis dalam RM1,000.

“Yang bernasib baik, orang yang ada kedai dapat berniaga, tapi kami, nak berniaga dekat mana?" katanya yang memperoleh pendapatan bersih sekitar RM200 sehari sekiranya berniaga di bazar Ramadan.

Tambah Aminuddin lagi, ada di kalangan rakannya sanggup menggadaikan barangan kemas untuk menyediakan modal tambahan bagi berniaga di Bazar Ramadan.

Sementara itu, seorang peniaga kuih onde-onde, Nisah Hassan, 57, pula amat terkejut dengan pengumuman kerajaan negeri semalam kerana dilakukan secara tiba-tiba.

Bagaimanapun, Nisah berkata dia sudah menjangkakan perkara sebegini akan berlaku.

“Memang saya was-was boleh berniaga pada mulanya. Persiapan dilakukan separuh daripada biasa. Tetapi, saya tidak menjangkakan yang keputusan pembatalan ini dilakukan secara drastik sebegini.

“Saya rasa sedih sebab pengumuman mendadak ni menyusahkan orang ramai. Segala modal barang, tapak berniaga, suntikan tifoid dan kad kesihatan sudah dibuat. Semua tu menelan kos hampir RM 2,000," jelasnya.

Menurut Nisah, dia merupakan golongan susah dan rumah yang diduduki juga menerima bantuan subsidi daripada kerajaan.

“Kalau boleh, saya naklah duit saya balik dan bantuan daripada kerajaan kerana ekonomi kami jatuh merudum disebabkan modal niaga hangus," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Menurut seorang peniaga masakan panas, Kamariah Zakaria, 59, modal bagi persiapan berniaga di bazar Ramadan berbeza dengan berniaga seharian.

“Modal dan stok barangan bazar Ramadan harus disediakan terus selama satu minggu sebab kita keletihan untuk sediakan stok barang niaga sehari-hari.

“Jadi, modal tu dah banyak keluar, saya habis dalam RM7000. Saya cuba untuk cari alternatif lain untuk terus berniaga dalam bulan Ramadan ini.

“Harapan saya, agar kerajaan sediakan bantuan khas untuk peniaga yang terjejas kerana diberhentikan berniaga secara drastik macam ni,” katanya.

Semalam kerajaan Kelantan memutuskan untuk membatalkan kebenaran operasi bazar Ramadan dan bazar Aildilfitri tahun ini sebagai langkah menangani peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Kelantan, Dr Izani Husin berkata, keputusan itu dibuat untuk membendung penularan Covid-19 di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS