Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sahkan kehadiran jika dapat temu janji vaksin - KJ

Hampir 60 peratus daripada mereka yang sudah mendapat temu janji pengambilan vaksin di bawah fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, belum menyatakan sama ada mereka akan hadir temu janji atau tidak, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Khairy menggesa seramai 18,215 individu daripada 31,776 yang sudah mendapat temu janji di bawah fasa 2 progam vaksinasi untuk mengesahkan kehadiran mereka.

“Kalau kamu sudah mendapat tarikh temu janji menerusi aplikasi MySejahtera atau SMS, tolong berikan jawapan supaya kita boleh aturkan di pusat vaksin.

“Jika kita tak tahu berapa ramai orang akan datang, dos vaksin mungkin akan terbazir. Kita mungkin sediakan vaksin yang tak mencukupi, atau terlebih dos vaksin,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Dia berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkenaan perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Putrajaya, yang disiarkan secara dalam talian.

Khairy mendedahkan bahawa daripada 31,776 orang yang sudah mendapat temu janji untuk fasa 2, seramai 13,218 orang sudah mengesahkan mereka akan hadir manakala 343 lagi menolak temu janji mereka.

Sebahagian kecil yang menolak temu janji berkenaan akan diberikan temu janji kedua kelak, katanya.

“Mereka akan diberikan temu janji kedua. Jika masih enggan pergi, kami akan siasat kenapa mereka tak mahu pergi temu janji mereka.

“Jika mereka terima (temu janji kedua), kesimpulannya itu bermaksud tarikh (pertama) tidak bersesuaian untuk mereka,” tambahnya.

Sementara itu, Khairy turut menyentuh berkenaan kebimbangan mengenai vaksin dari China, Sinovac, yang telah diluluskan untuk digunakan di Malaysia buat golongan berumur 60 tahun ke atas.

Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Gao Fu hari ini dilaporkan mengaku bahawa vaksin tersebut mempunyai tahap perlindungan yang rendah terhadap Covid-19.

Kata Khairy, jawatankuasa vaksin sudah menyemak data Sinovac dan memutuskan untuk menggunakannya ke atas warga emas berdasarkan ujian-ujian di Brazil.

Data daripada ujian-ujian berkenaan menunjukkan bahawa vaksin Sinovac mempunyai keberkesanan 83.7 peratus untuk kes sederhana Covid-19 dan 100 peratus berkesan untuk kes yang teruk, katanya.

“Jadi vaksin ini berkesan untuk mencegah kes Covid-19 yang teruk, dan inilah yang kita mahu cegah dalam fasa 2 untuk warga emas.

“Jadi jika kita boleh berikan 100 peratus perlindungan terhadap kes teruk - seperti yang diberikan oleh Sinovac - maka ia sesuatu yang kita mesti terus gunakan,” jelasnya.

Khairy turut menegaskan bahawa kadar pemvaksinan semasa yang dikritik sesetengah pihak sebagai terlalu perlahan, adalah kerana jadual penghantaran vaksin yang perlahan daripada syarikat pengeluar.

Dia mengingatkan bahawa Malaysia dijangka menerima penambahan bekalan vaksin bermula Jun, yang merupakan sebahagian daripada rundingan dengan syarikat-syarikat berkenaan.

“Ini kerana rantaian bekalan global (untuk vaksin) berdepan macam-macam cabaran.

“Sikap tamak negara maju … yang telah membeli dan menempah bekalan vaksin secara pukal sehingga mereka mempunyai cukup vaksin untuk lima kali ganda populasi mereka …merupakan salah satu sebab mengapa negara membangun seperti Malaysia, hatta Australia berdepan isu bekalan vaksin,” kata Khairy.

Isu bekalan vaksin turut menghalang kerajaan untuk turut melibatkan golongan media dalam program vaksinasi, tambahnya.

“Kami sudah bersetuju untuk masukkan media ke dalam senarai prioriti, tetapi masalahnya sekarang ialah bekalan vaksin.

“Jadi apabila bekalan sudah cukup, kami akan masukkan pihak media,” kata Khairy.

Sementara itu Adham memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan menyokong agar petugas media diberi layan sama seperti petugas barisan hadapan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS