Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Salah komunikasi' lepas dedah akan beli saham menara 'tertinggi'
Diterbitkan:  Apr 11, 2021 10:53 PM
Dikemaskini: 2:53 PM

Koperasi Amanah Pelaburan Bhd (KAPB) memaklumkan terdapat salah komunikasi selepas mendedahkan akan membeli 51 peratus saham Mulia Property Development Sdn Bhd (MPDSB) yang memiliki menara Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, Kementerian Kewangan hari ini menegaskan yang ia masih memiliki 51 peratus saham tersebut menerusi MKD Signature Sdn Bhd (MSSB).

Kementerian Kewangan berkata ia mengambil alih 51 peratus saham di dalam MPDSB pada 2017 daripada Mulia International Limited (MIL) dari Indonesia, bagi memelihara kepentingan projek itu yang sukar mendapatkan pinjaman pembiayaan kerana terpalit dengan skandal 1MDB.

Pengambilalihan itu dilaporkan secara meluas sebagai satu bentuk bailout. 

MIL masih memiliki lagi 49 peratus saham.

"Buat masa ini MSSB masih menjadi pemegang saham utama MPDSB dan tidak wujud sebarang perjanjian penjualan saham kepada mana-mana pihak," kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan berkata MIL mempunyai hak untuk melaksanakan opsyen panggilan untuk membeli semula 51 peratus saham MSSB daripada kerajaan Malaysia. Selepas itu, mereka boleh menjual semula saham berkenaan.

Bagaimanapun, kata kementerian itu lagi, MIL mestilah terlebih dahulu menjelaskan semua pinjaman yang diberikan oleh MSSB yang dimiliki kerajaan, dan harga penjualan saham itu nanti haruslah dipersetujui secara bersama.

Pada Jumaat, pengerusi KAPB Ilyas Mohamed berkata bahawa ia telah menandatangani perjanjian lebih setahun lepas bagi mengambil alih 51 pegangan saham dalam projek Exchange 106, namun menjangkakan butirannya akan dimuktamadkan pada Jun.

Ilyas dipetik Free Malaysia Today sebagai berkata yang dia tidak dapat mendedahkan jumlah yang terlibat, namun menyifatkannya sebagai “perjanjian luar biasa.”

Bagaimanapun, KAPB hari ini berkata ia tidak ada membeli saham berkenaan, dan menyifatkan kenyataan sebelum itu sebagai "salah komunikasi".

Sebaliknya, KAPB dipetik berkata bahawa syarikat gabungan, AP Holding Berhad mengadakan kerjasama strategik dengan MIL yang turut merangkumi pilihan untuk memperoleh pegangan dalam Exchange 106, tertakluk kepada keizinan daripada Kementerian Kewangan.

Exchange 106 dilaporkan secara meluas sebagai bangunan tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 492.3 meter.

Bagaimanapun, ketinggian yang dilaporkan itu dihitung daripada peninggian (elevation) tapak bangunan, yang tidak dikira sebagai sebahagian daripada ketinggian binaan berkenaan.

Jika tidak mengira tinggi berkenaan, ketinggian rasmi Exchange 106 adalah 446 meter, lebih rendah daripada Menara Berkembar Petronas yang setinggi 452 meter.

Ini menjadikan Exchange 106 sebagai bangunan kedua tertinggi di negara ini buat masa ini.

Bagaimanapun, Exchange 106 masih lebih tinggi berbanding Menara Berkembar Petronas jika dikira sehingga ke ketinggian bumbung. Ini kerana, tidak seperti Menara Berkembar Petronas, Exchange 106 tidak mempunyai puncak menara atau antena.

Kedua-dua menara itu bakal tewas apabila Menara Merdeka 118 milik Permodalan Nasional Berhad di Kuala Lumpur, dijangka siap tahun hadapan. Ia dianggarkan mempunyai ketinggian 644 meter.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS