Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rakaman audio: Apa kami syak selama ni terbukti benar - Mukhriz

Rakaman audio yang didakwa perbualan antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membuktikan apa yang disyaki selama ini benar mengenai rundingan antara kedua-dua parti itu, kata Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir.

Menurut Mukhriz, pendedahan mengenai rakaman audio berkenaan merupakan sesuatu yang sangat mengecewakan Pejuang.

"Sebelum ini kami di pihak Pejuang dah berapa kali minta supaya didedahkan apa bentuk kerjasama sekiranya ada, antara Pakatan Harapan khususnya PKR dengan Umno khususnya kluster mahkamah.

"Dan kami tidak pernah mendapat jawapan, malah kalaupun ada jawapan seolah-olah berdolak-dalih, tak memberi jawapan yang tepat.

"Tetapi bila dah didedahkan rakaman ini, maka, apa yang kami syak sebelum ini nampaknya terbukti benar.

"Dan saya tak lihat bagaimana kami boleh memberi sebarang bentuk kerjasama kepada mana-mana pihak yang sanggup bekerjasama dengan kluster mahkamah yang selalu kita sebutkan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Parti Pejuang Tanah Air Negeri Kelantan di K Castle Kota Bharu, hari ini.

Kluster mahkamah merujuk kepada pemimpin Umno yang sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, termasuk presidennya Ahmad Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman audio melibatkan dua individu yang suaranya mirip Anwar dan Ahmad Zahid.

Suara berkenaan antara lain didengar bercakap mengenai Perhimpunan Agung Umno dan ucapan Zahid semasa perhimpunan berkenaan.

Kedua-dua mereka bagaimanapun menafikan kesahihan klip audio berkenaan.

Namun Anwar semalam mempersoalkan apakah dia melakukan sebarang jenayah sekiranya rakaman audio tersebut adalah tulen.

Mukhriz berkata, keyakinan tentang kesahihan audio itu diperkuatkan lagi apabila Anwar mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mengiakan rakaman berkenaan.

“Semalam pula apabila saya mendengar kenyataan yang telah dibuat Anwar Ibrahim yang seolah-olah membayangkan bahawa 'kalau pun benar mereka cakap begitu apa salahnya'.

"Jadi kalau dah macam itu maksudnya betullah tu," kata anggota parlimen Jerlun itu.

Kata Mukhriz lagi, pihaknya sejak awal menunggu penafian daripada kedua-dua tokoh terbabit.

"Walaupun daripada firasat kami sebenarnya, kami rasakan bahawa memang dua tokoh itulah yang bercakap dalam rakaman itu.

“Sebab cara bercakap, kandungan cakap pun kita rasakan selaras dengan apa yang telah berlaku sebelum ini.

“Antara lain surat yang telah ditandatangani oleh Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong juga seiring dengan apa yang telah disebut dalam perbualan antara dua pihak itu,” katanya.

Pada 17 Okt tahun lalu, jurucakap Zahid menafikan surat yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan parti itu kepada Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Selain tandatangan Zahid, surat itu juga dikatakan ditandatangani bekas presiden Umno, Najib Razak.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS