Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelantan batal operasi bazar Ramadan, Aidilfitri
Diterbitkan:  Apr 11, 2021 12:27 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Dua hari sebelum umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Ramadan, kerajaan Kelantan memutuskan untuk membatalkan kebenaran pengoperasian bazar Ramadan dan bazar Aildilfitri tahun ini sebagai langkah menanagani peningkatan kes Covid-19 di negeri itu

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Kelantan, Dr Izani Husin berkata, keputusan itu dibuat untuk membendung penularan Covid-19 di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Bazar Ramadan, bazar Aidilfitri seluruh Kelantan dibatalkan.

"Ini adalah ikhtiar demi membendung penularan Covid-19," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob membenarkan bazar Ramadan beroperasi sepanjang bulan puasa dengan kapasiti penjual dan pembeli yang bersesuaian dengan lokasi selain perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semalam, Covid-19 di Kelantan mencatat 171 kes dan berada di kedudukan ketiga tertinggi selepas Sarawak dan Selangor.

Kelantan juga semalam mencatat satu kluster baru iaitu kluster Bandar Baru Kubang Kerian yang membabitkan tempat kerja.

Dalam perkembangan itu juga, Izani memaklumkan penganjuran Madinah Ramadan yang merupakan salah satu acara tahunan di Kelantan juga turut dibatalkan.

Katanya, lokasi program Madinah Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad V, Kota Bharu itu dijadikan sebagai pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC).

"Madinah Ramadan ditukarkan menjadi pusat Rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS